Wednesday, June 15, 2011

Dilema Program dan Filem Berbentuk Islamik

Akhir-akhir ini, industri hiburan kita mula dibanjiri dengan filem dan drama yang di katakan mempunyai ciri Islamik. Bermula pada tahun 2008, filem Ayat-ayat Cinta yang diadaptasi daripada novel Ayat-ayat cinta karya Habiburrahman El Shirazy telah ditayangkan Indonesia, Malaysia dan Singapura.




Sejak itu filem-filem dan drama-drama berciri Islamik mula menjadi fenomena. Negara kita juga turut tidak ketinggalan apabila drama Nur Kasih yang ditayangkan di TV3 pada tahun 2009 mencapai ranking jumlah 3.9 juta penonton. Jumlah penonton yang tinggi ini menyebabkan begitu ramai pengusaha filem dan drama berlumba-lumba untuk menghasilkan karya bergenre islamik ini demi untuk mengaut keuntungan.



Ciri-ciri islamik ini bukan sahaja terdapat didalam filem dan drama tetapi juga di dalam radio, novel dan sebagainya. Senario ini membuktikan bahawa bukan sedikit sambutan masyarakat kita terhadap karya-karya seni yang bersifat islamik ini. Namun, karya yang di anggap Islamik pada awalnya kini berhadapan dengan pelbagai dilema. Lebih ramai penerbit drama dan program-program ini yang melihat karya islamik ini sebagai satu bentuk hiburan dan keuntungan semata-mata. Seperti yang semua tahu filem-filem atau drama-drama yang bersifat Islamik ini membawa satu beban yang berat iaitu beban untuk memperkenalkan apakah "Islam" itu sendiri dimata masyarakat.



Terdapat pelbagai kekecelaruan dan dilema yang ditonjolkan didalm filem/program/drama yang bersifat islamik ini:



1. Pendakwah yang tidak menepati akhlak seorang Dai'e.



Pendakwah yang biasanya digambarkan didalam filem dan drama adalah watak seorang Ustaz. Di dalam hireaki masyarakat kita yang sebenar, Ustaz sangat dihormati. Ustaz dianggap sebagai mereka yang sangat berpengetahuan tinggi didalam Ilmu Agama. Oleh itu segala tindak tanduk dan tutur kata ustaz akan dianggap menepati syarak dan berakhlak mulia. Ini adalah kerana mereka (ustaz) mendapat pendidikan agama yang paling tinggi. Namun demikian seolah-olah ada usaha terancang untuk mencalar situasi kedudukan Ustaz dalam masyarakat melalui Filem dan Drama. Sebagai contoh dalam salah satu drama. Digambarkan seorang ustaz muda yang baru balik daripada Jordan. Pada awalnya kisah ini menggambarkan watak ustaz ini sebagai seorang watak ustaz muda yang baik, maju daripada cara berdakwah iaitu melalui medium teknologi maklumat seperti Facebook dan Blog. Namun yang menjadi cacatnya tidak pernah sekalipun dia menegur orang kampung dan jemaah masjid yang melakukan kesalahan dengan penuh hikmah. Ustaz ini digambarkan telah menegur orang kampung dengan cara yang biadap. Sebagai contoh Ustaz ini terus mencelah dan menegur jemaah masjid dengan kasar apabila dia berasa tidak berpuas hati terhadap tindakan orang kampung. Lalu Ustaz ini dipulaukan orang kampung kerana dianggap gila kuasa kerana sikapnya yang biadap itu.



2. Cara dakwah yang tidak memenuhi tuntutan syarak.



Dalam sebuah drama yang lain,seorang watak Ustaz dilihat sangat lemah dan hanya tenggelam dan hanyut dalam nostalgia dengan kekasih lamanya. Kelemahan ini sangat ketara. Majoriti dalam drama ini digambarkan Ustaz ini berhadapan dengan dilema yang sangat hebat. Meskipun pada awal drama ini mengambarkan Ustaz muda ini yang baru balik daripada Mesir dan akan melakukan sesuatu perubahan dalam kampungnya. Namun perubahan/kebaikan yang ditonjolkan itu sangat sedikit jika hendak dibandingkan dengan dilemma percintaan yang dihadapinya. Ada antara pembikin drama ini mahu menggambarkan ciri-ciri percintaan yang kononnya dibenarkan oleh syarak. Jelas fahaman ini adalah terpesong dan sangat merbahaya kepada masyarakat. Yang lebih menjengkekan lagi apabila ada drama lain yang memperlihatkan seorang ustaz melakukan janji temu untuk bertemu dengan seorang doktor perempuan ditepi sungai di dalam hutan untuk membincangkan soal agama. Malah Ustaz dan doktor perempuan ini jelas berpelukan dan berpegangan tangan. Kemudiannya mereka berjanji untuk berkahwin. Tidakkah ini menambahkan kecelaruan dalam masyarakat. Adakah berduaan ini begini dibenarkan? Adakah percintaan dan berdua-duaan seperti itu dibenarkan sebelum berkahwin?



4. Watak didalam drama tidak seperti perwatakan sebenar artis di dunia sebenar.



Mesej dakwah adalah mesej yang sangat suci. Hamka pernah berkata bahawa dakwah yang disampaikan daripada lidah hanya akan sampai ditelinga sasaran dakwah sahaja sedangkan dakwah yang datang daripada hati akan sampai ke hati sasaran dakwah. Kata-kata ini mengambarkan bahawa watak dakwah bukanlah calang-calang orang yang patut membawanya. Apabila kita menonton cerita-cerita begini di kaca televisyen atau panggung wayang. Adakah kita tidak pernah kedengaran dialog begini samada daripada ahli keluarga,rakan-rakan atau kita sendiri. "Artis ini diluar sana (dunia sebenar) begitu seksi sekali,tetapi didalam filem bertudung litup." Dialog sinikal seperti ini pastinya kita sudah biasa dengar. Akhirnya objektif dakwah itu tidak akan sampai kepada para penonton. Inilah dilema yang dihadapi penonton. Bahkan sewajarnya para artis ini menjadi lebih baik kerana mereka melakonkan dan sebagai pelakon terbaik mereka perlu menjiwai watak yang diberikan. Kita juga sebagai penonton sewajarnya mendoakan para artis ini segera mendapat hidayah.



5. Komedi yang tidak sensitif kepada masyarakat Islam.



Filem atau drama berciri Islamik kini mula diterbitkan dalam corak komedi. Tidak dinafikan, terdapat pelbagai cara dakwah perlu diketengahkan untuk menarik perhatian para sasaran dakwah.Namun ia bukanlah isyarat yang membolehkan matlamat menghalalkan cara. Terdapat beberapa filem dan drama yang diterbitkan jelas tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam. Sebagai contoh terdapat drama yang cuba memaparkan sekumpulan AJK Masjid yang kuat makan. Sehingga masjid berkenaan terkenal dengan kesedapan dan kemewahan makanan selepas pengajian. Malah dipaparkan juga Ustaz Jemputan yang datang ke masjid itu hanya kerana untuk makan. Terdapat dialog yang menunjukkan ustaz itu sanggup memberhentikan kuliah semata-mata kerana hidangan makanan telah tersedia. Dalam watak komedi ini juga memaparkan bagaimana para ustaz dan Ajk Masjid ini percaya kepada perkara Khurafat seperti Hantu Jepun yang menyebabkan kematian setiap Setiausaha Masjid yang sebernarnya meninggal kerana serangan jantung akibat kolestrol. Adakah watak ini sengaja diwujudkan bagi melambangkan kebodohan ustaz dan AJK masjid? Tidak dinafikan, drama atau filem bergenre komedi juga boleh membuka mata penonton untuk menerima ajaran islam. Namun jika tersalah langkah, ia hanya akan menyebabkan para alim ulama dan ustaz kita akan dipndang lekeh dan hina dimata masyarakat. Jika perkara ini berterusan, rasa hormat dan percaya masayarakat kepada para alim ulama kita tidak mustahil akan turut terhakis suatu hari nanti.



6. Memperlihatkan kemenangan iblis.



Baru-baru ini terdapat sebuah drama yang benar-benar menyesatkan. Drama ini memaparkan ustaz-ustaz yang bertarung dengan Iblis telah terkalah. Gambaran ini jelas melambangkan bahawa Iblis sangat berkuasa. Perkara ini turut dikritik oleh beberapa blogger hiburan. Perkara ini sangat bahawa kerana ia melibatkan soal akidah.Dalam watak drama dan filem bergenre seram ini para Ustaz hanya digambarkan sebagai watak penghalau Hantu dan Iblis. Watak sempit ini akan menagkibat masyarakat hanya menganggap bahawa peranan ustaz hanya tidak lebih sebagai pengahalau jin dan syaitan didunia sebenar.Malah, watak yang memegang peranan Ustaz dalam filem atau drama ini bukanlah mereka yang selayaknya memegang watak ini. Watak-watak ini hanya dilihat sebagai mempersendakan bacaan zikir dan bacaan Al-Quran untuk menghalau jin dan syaitan.



7. Zikir kalimah tauhid sebagai simbol ajaran sesat.



Ajaran sesat sememangnya menjadi kudis dalam masyarakat Islam.Antara puncanya ialah apabila masyarakat mula mahu mencari kebenaran dalam beragama kerana fitrahnya manusia itu mahu mencari tuhan dan agama yang sesuai untuk mereka. Malangnya acapkali drama dan filem mengenai ajaran sesat ini disimbolkan dengan zikir kalimah tauhid sebagai lambang ajaran sesat. Mereka yang berzikir kalimah tauhid ini beramai-ramai digambarkan sebagai pengikut ajaran sesat. Ini pasti akan menyebabkan persepsi masyarakat kepada kumpulan zikir berubah dan menggap mereka yang berzikir ini sebagai pengikut ajaran sesat. Akibatnya filem atau drama yang yang cuba memaparkan bahayanya ajaran sesat hanya lebih menyebarkan ajaran yang salah mengenai Islam.



8. Konsep perhubungan sosial terbuka lelaki dan perempuan bukan muhrim dipopularkan.



Terdapat banyak juga adegan filem dan drama berciri islami ini memaparkan pergaulan yang sangat bebas antara pendakwah lelaki atau perempuan dan dengan sasaran dakwah berlawanan jantina. Terdapatnya adegan peguam syariah makan berdua dengan pelanggan perempuan. Ustaz berjanji temu dengan doktor perempuan di tepi sungai. Terdapat juga adegan yang menunjukkan orang-orang surau bermain mata antara lelaki dan perempuan di sebalik tabir pemisah dalam surau, membasuh pinggang mangkuk bersama-sama antara lelaki dan perempuan. Ada juga ustaz yang balik dari masjid selepas solat Isyak tetapi menemankan seorang gadis yang sahih bukan mahramnya balik ke rumah. Perlukah adegan-adegan seperti ini diselitkan ?. Atau adakah agenda yang cuba membenarkan perlakuan sebegini didalam Islam.



9. Program Televisyen Yang Tidak menepati Syarak



Memang benar terdapat beberapa usaha membawa hiburan berciri Islamik ke arus hiburan perdana. Namun terdapat kejanggalan apabila para pengacara rancangan televeisyen ini tidak memelihara soal tabaruj (Perhiasan). Sebagai contoh kebanyakkan pengacara wanita memang memakai tudung tetapi bersanggul tinggi seperti bonggol unta. Adakah perhiasan sebegini dibenarkan syarak. Malahan para imam muda disolekkan sehingga nampak begitu berkilat bibir-bibir meraka.



Akibat Salah Tafsir Karya Islamik



Terdapat dua kesan utama yang akan didapati apabila filem dan drama ditafsir sesuka hati oleh para pembikin filem dan drama.



1. Salah faham mengenai ajaran Islam sebenar terutamanya dari segi aspek Tauhid, Fekah dan Tasauf. Ketiga-tiga ciri ini adalah asas yang paling asas dalam ajaran Islam. Ia akan merosakkan ajaran Islam yang sebenar memandangkan pengaruh media adalah yang sangat besar.



2. Lebih membawa kerosakan. Hujah ini berdasarkan bahawa kebanyakkan filem atau drama ini cuba memaparkan betapa bahaya dan betapa dasyatnya apabila manusia membuat dosa. Malangnya filem dan drama inilah yang menunjukkan cara-cara untuk melakukkan dosa. Terdapat juga adegan yang sebenarnya membahaya bahaya besar kepada negara secara khususnya. Seperti yang dinyatakan diatas bahawa terdapat filem dan drama yang mengajar penonton bagaiaman mahu membuat jenayah terancang seperti pencolekan, pembunuhan, rogol,penipuan malah cara untuk membuat bom. Kesan ini sangat besar samada kesan jangka pendek ataupun kesan jangka panjang. Kesan salah tafsir ini sangat penting untuk dibendung.

Kesan besar media



Penulis buku, Ainon Mohd dalam buku beliau iaitu "Panduan Menulis Novel :Teknik Surah Yusuf" menggariskan bahawa terdapat beberapa garis besar yang perlu dijadikan panduan untuk membina karya Hasanah. Karya Hasanah adalah dimaksudkan karya yang baik. Iaitu karya yang mampu memberi ilmu kepada masyarakat. Beliau menyatakan bahawa ciri-ciri karya tidak hasanah adalah seperti berikut.



1. Mempromosikan Idea Yang mengatakan Tuhan tidak wujud.



2. Mempromosikan idea-idea yang tidak selaras dengan ajaran di dalam al-Quran dan hadis.



3. Menimbulkan kesan psikologi dan emosi yang menyebabkan timbul keinginan pembaca/penonton mahu melakukkan perkara



yang dilarang oleh agama islam.



4. Memberi kemenangan moral kepada si pendosa, yakni watak yang melakukan perbuatan salah.



5. Memberi status rendah kepada Islam manakala agama lain diberikan status yang tinggi dan mulia.



Adalah sangat wajar sekiranya industri hiburan di negara ini mewujudkan badan pengawas yang dapat memantau dan menilai kualiti filem-filem yang diterbitkan dan bertemakan islamik agar sentiasa sejajar dengan tuntutan syariah. Badan penilai ini bolehlah mempunyai ciri yang sama dengan FINAS yang melakukan penapisan filem yang sesuai ditayangkan di negara kita. Filem atau drama yang ingin di tayangkan dalam konsep karya Islamik perlulah melepasi piawaian patuh syariah atau 'syariah compliant'



Saranan ini sangat penting memandangkan pengaruh media sangat besar terutamanya kepada generasi muda negara. Kita tidak mahu fahaman mengenai syariah sebenar dislaah tafsir oleh masyarakat. Sebagai contoh ramai wanita-wanita di luar telah mula memakai tudung berbongol. Ini adalah kesan daripada drama dan filem yang menunjukkan cara pemakaian tudung seperti itu sedangkan pemakaian tudung berbonggol adalah tidak mematuhi tuntutan syariah. Oleh yang demikian panel pengawasan untuk filem dan drama Malaysia perlu segera diwujudkan untuk memastikan kemurniaan dan kesucian Islam .



Rujukan:

Ainon Mohd. Panduan Menulis Novel:Teknik Surah Yusuf. PTS Profesional 2011.



-Artikel ini telah masuk di dalam Iluvislam.com







Penulis merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer( Pengurusan Sistem Maklumat) Universiti Teknologi Malaysia.Merupakan mantan Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Berasal daripada Pulau Pinang.Aktif dalam gerakan sosial masyarakat dan penyebaran ilmiah. Kini penulis adalah ahli eksekutif Assembly of Intellectual Muslim (HAKIM). Berkemahiran dalam latihan Kepimpinan, Pegurusan Strategik, Dakwah dan Tarbiyah, Pembinaan Insan, Latihan Pemikiran Lateral, Latihan Penulisan, Isu Semasa, Dan Latihan Pelajar Sekolah. Aktif sebagai penulis dan banyak menulis di majalah dan akhbar. Blog penulis ialah www.firdauskhairi.blogspot.com. Boleh dihubungi di melalui emel; firdaus.khairi@gmail.com.

No comments: