Menyelesai punca masalah Disiplin Pelajar. Satu pandangan.
Oleh
Sdr.Mohd Firdaus Bin Mohamed Khairi
Rotan, berdiri atas kerusi, berdiri luar kelas,berdiri dihadapan perhimpunan,jalan itik adalah di antara denda atau hukuman kecil yang dilaksanakan kepada pelajar yang dikatakan “bermasalah disiplin” sehingga peringkat yang paling besar hukuman kepada pelajar ialah hukuman buang sekolah. Pada suatu ketika, rotan menjadi alat bantuan mengajar paling berkesan berbanding segala alat bantuan mengajar yang lain. Hukuman di anggap “alatan” yang paling berkesan untuk membetulkan keadaan masalah disiplin. Di kebanyakan sekolah, guru yang paling di takuti ialah guru disiplin. Malah tidak keterlaluan dikatakan jawatan panas ini adalah jawatan yang paling tidak digemari oleh para pelajar.
Namun begitu, kita seolah-olah lupa apakah sebenarnya “cara” untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Permasalahan menyelesaikan masalah bukan sahaja hanya terfokus kepada masalah pendidikan, tetapi apa juga masalah.Kita selalu lupa dalam aspek mencari punca masalah itu terjadi. Kita selalu menyelesaiakn masalah sama ada ketika peringkat pertengahan atau ketika peringkat akhir. Tanpa kita menitik beratkan tentang “punca” permasalahan. Seperti penyakit barah, selalunya kita mengubati penyakit barah dengan melakukan pembedahan atau dengan cara memancarkan sinar-x pada tempat penyakit barah itu. Sedangkan sinar-x sebenarnya adalah radioaktif yang juga antara punca utama barah. Sedangkan kita lupa untuk mengubati punca penyakit itu. Itu dengan mengamalkan permakanan dan cara hidup sihat. Seperti menjauhi alkohol,rokok dan dadah.
Apabila kita telalu menekankan hukuman sebagai alat penawar untuk masalah displin di kalangan pelajar, kita seolah-olah mengambil jalan pendek untuk mengatasi maslah ini. Sedangkan kita tidak mengubati punca penyakit displin ini. Semua kita sedia maklum mungkin tentang apakah komposisi kejadian manusia iaituJasmani dan Rohani. Apabila merotan menjadi alternatif utama, kita seolah-olah hanya mengubati penyakit fizikal sedangkan masalah disiplin adalah berpunca daripada faktor dalaman iaitu akhlak dan gaya fikir seseorang pelajar. Adakah dengan merotan, emosi seseorang pelajar ini boleh terkawal atau semakin memberontak. Lebih ekstrim lagi adakah dengan membuang sekolah , seseorang pelajar itu akan menjadi insaf atau menjadi penjenayah pada masa depan lantaran masa depannya yang kelam, penuh kemarahan dan dendam?.
Pendidikan ialah tugas mendidik untuk memberi makna pandangan hidup yang sebenar kepada seseorang manusia untuk menjadi manusia. Malah pendidikan juga berfungsi untuk membentuk akhlak manusia.Di sini kita boleh bahaskan apakah sebnarnya matlamat utama pendidikan negara. Adakah mahu melahiran manusia atau apa?. Adakah juga kita mahu membentuk akhlak atau displin dikalangan pelajar. Pada hemat saya kita perlu menekankankan kepada proses pembentukan akhlak berbanding displin.
Menurut Prof.Dr.Mohd Nasir Omar dalam bukunya yang bertajuk Akhlak dan Kaunseling dalam Islam mendefinasikan akhlak ialah tabiat semula jadi yang dimiliki seseorang. Menurut Prof.Dr.Mohd Nasir Omar lagi yang mengutip definasi Ibn Miskawayh di dalam kitabnya Falsafatuhu al-Akhlaqiyya wa Masadiruha. Ibn Miskawayh mendefinasikan akhlak sebagai:
“Akhlak merupakan sesuatu hal atau situasi kejiwaan yang mendorong seseorang insan melakukan sesuatu perbuatan dengan senang tanpa berfikir dan perencanaan yang rapi. Hal ini terbahagi kepada dua jenis iaitu satunya bersifat tabii seperti takut kepada sesuatu , mudah ketawa, mudah menagis dan hiba , Satu lagi jenis akhlak ialah situasi kejiwaan yang diperolehi seseorang melalui adat kebiasaan atau disiplin diri.Akhlak ini mungkin pada peringkat permulaan bermula dengan pemikiran dan dileberasasi seseorang tetapi kelamaan dan dengan sokongan amalan yang konsisten , ia akan berubah menjadi tabiat dan akhlak seseorang”.
Pendapat tokoh moralis ini dipersetujui oleh banyak ilmuan lain. Daripada definasi akhlak yang diutarakan oleh Ibn Miskawayh ini, sistem pendidikan perlu menekankan soal pembentukan akhlak. Akhlak bukan perkara yang dipaksa-paksa, ia adalah kebiasaan diri. Seperti yang di sebut oleh Ibn Miskawayh bahawa akhlak sifat yang kedua iaitu.
“Satu lagi jenis akhlak ialah situasi kejiwaan yang diperolehi seseorang melalui adat kebisaan atau disiplin diri.Akhlak ini mungkin pada peringkat permulaan bermula dengan pemikiran dan dileberasasi seseorang tetapi kelamaan dan dengan sokongan amalan yang konsisten , ia akan berubah menjadi tabiat dan akhlak seseorang”.
Ini bermakna, kita sewajarnya membentuk disiplin itu hanya setakat kawasan sekolah , tetapi akhlaknya kepada kehidupan alam secara keseluruhan.
Pendidikan bukanlah sekadar untuk memberi maklumat kepada seseorang untuk bagaimana mendapat pekerjaan. Apalah ertinya seseorang yang berjawatan tinggi dan bergaji tinggi tetapi melakukan kesalahan besar merompak hak orang lain dengan melakukan rasuah dan pecah amanah?. Dalam aspek ini sistem pendidikan negara perlu benar-benar menginsafi kembali tentang makna Falsafah pendidikan negara yang sangat cantik sekiranya benar-benar dipraktikkan.Intipati penting sistem pendidikan negara di dalam falsafah pendidikan negara ialah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang seimbang dari aspek Jasmani,Emosi,Rohani dan Intelek.
Prof.Syed Muhamad Naquib Al-Attas ketika membicarakan punca masalah utama masalah umat Islam didalam bukunya “Islam and Secularism” ialah “kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu”. Masalah besar apabila kita tidak dapat membezakan tentang apakah sebenarnya keperluan ilmu dan di mana letaknya kedudukan . Sehingga dewasa ini, fungsi utama Univerisiti bukan lagi menjadi gedung ilmu yang menjadi tempat lahirnya para ilmuan, tetapi kini universiti menjadi kilang pengeluar produk-produk pekerja untuk syarikat-syarikat dan kilang-kilang di luar sana. Para Mahasiswa tidak mendapat makna sebenar tentang pandangan hidup mereka sebagai Insan.Kemahiran bekerja jika tidak dikembangkan berdasarkan dasar ilmu kelak menjadi alat bagi syarikat konglemerat untuk memperalatkan para Mahasiswa.Menurut Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud menyebut dalam bukunya “Penjelasan Budaya Ilmu” bahwa ekonomi bangsa yang tidak berilmu hanyalah ekonomi tumpangan yang menanti belas ihsan bangsa kaya dan maju untuk membuat pelaburan. Selagi kita tidak mencipta teknologi dan budaya ilmu yang kuat, selagi itulah kita akantetap menjadi negara pengguna yang setia.
Pendekatan pendidikan negara perlu kembali kepada aspek membina insan. Modal insan yang mahu dilahirkan perlulah insan yang sarat dengan nilai-nilai kemanusiaan, bukan untuk aspek keuntungan komersial. Melahirkan insan yang berilmu perlu menekankan aspek dalaman. Ini kerana ilmu itu prosesnya adalah dalaman. Iaitu akal budi dan jiwa. Malahan definasi Ilmu itu sendiri menurut Prof.Syed Muhamad Naquib Al-Attas ialah
“Merujuk Allah sebagai asal segala ilmu. Ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tenang seseuatu”.
Definasi ini sangat sinonim atau mempunya perkaitan yang amat kukuh dengan akhlak seperti di atas. Apabila ketibaan makna itu telah tiba di dalam jiwa, maka masalah proses pembentukan akhlak akan menjadi mudah dan berkesan. Sifat tabii yang dibentukkan bukanlah di atas paksaan. Ia akan menjadi kebiasaan dan fitrah.
Namun begitu generasi muda kini mengalami proses pengalaman keleiruan yang amat ruwet. Sekiranya usaha guru didalam sekolah telah bertungkus lumus untuk menyiapan seorang manusia yang seimbang jasmani,emosi,rohani dan intelek. Para pelajar menjadi keliru apabila berhadapan dengan dunia nyata yang amat bersalahan dengan apa yang dididik di sekolah. Sekiranya didalam sekolah dididik dengan sikap berakhlak mulia. Nanun keadan sebenar menjadi sebaliknya. Generasi muda begitu mudah akses kepada hiburan dan kelalaian yang melampaui. Apatah lagi untuk mempraktikkan budaya ilmu dikalangan generasi muda. Di luar sana para artis di angkat menjadi contoh atau ikon. Walhal kelompok ini langsung tidak menumbangkan kepada pembinaan generasi muda yang baik. Contoh-contoh yang ada pada artis hiburan ini jelas teruk dan buruk. Langsung tidak menggambarkan contoh teladan yang baik.Para Mahasiswa yang mendapat Ijazah kepujian pertama di mana-mana Universiti tidak pernah ditanyangkan secara langsung di seluruh negara. Artis segera yang memenangi anugerah mencipta bintang segera ditayangkan diseluruh negara.
Oleh demikian, banyak lagi perkara yang perlu diperhatikan dan diperbetulkan sebelum kita menghukum para generasi muda. Keliruan dan kefahaman ilmu perlu deperjelaskan dahulu. Pendekatan pembinaan akhlak berbanding disiplin pelajar perlu diambil perhatian. Perbincangan menyeluruh melibatkan tokoh-tokoh ilmuan,para ulamak, NGO,pimpinan pelajar perlu dilibatkan untuk menghasilkan perbincangan yang tuntas dan hasil penyelesaian penyakit yang menghasilkan penawar yang mujarab dan berkesan.
Pemuda tiang negara, pemuda harapan bangsa,pemuda pemimpin masa depan negara.
Mohd Firdaus Bin Mohamed Khairi
Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia,
No comments:
Post a Comment