Thursday, June 16, 2011

DILEMA FILEM/DRAMA DAN PROGRAM ISLAMIK

DILEMA FILEM/DRAMA DAN PROGRAM ISLAMIK


Mohd Firdaus Bin Mohamed Khairi

     Dewasa kini industri hiburan kita mula dibanjiri dengan filem dan drama yang di anggap sebagi berciri Islamik. Pada tahun 2008 filem Ayat-ayat Cinta yang diadaptasi daripada novel Ayat-ayat cinta karya Habiburrahman El Shirazy telah ditayangkan Indonesia,Malaysia dan Singapura. Sejak itu filem-filem dan drama-drama berciri Islamik ini mula menjadi fenomena. Negara kita juga turut tidak ketinggalan apabila drama Nur Kasih yang ditayangkan di TV3 pada tahun 2009 mencapai jumlah 3.9 juta penonton. Jumlah penonton dan rating yang tinggi ini menyebabkan begitu ramai pengusaha filem dan drama berlumba-lumba untuk menghasilkan karya bergenre Islamik ini.

    Ciri-ciri Islamik ini bukan sahaja terdapat kepada karya sastera seperti Novel, Filem, Drama dan Lagu (Nasyid) malahan ciri ini juga terdapat kepada program televisyen dan dan rangkaian televesyen. Sebelum ini kita mempunyai radio IKIM. Kemudiannya saluran Oasis Astro dan yang terbaru adalah TV Al-Hijrah. Program televisyen popular pula adalah Imam Muda dan Akedemi Al-Quran . Kesemua program ini mendapat sambutan yang hangat . Senario ini membuktikan bahawa bukan sedikit sambutan masyarakat kepada karya sastera berciri Islamik ini.

   Bermula daripada kisah percintaan dan kekeluargaan filem atau drama berciri Islamik kini mula memasuki fasa baru atau konsep era popular yang baru. Meskipun dianggap baru sebenarnya fasa ini telah pun lama diterokai oleh pembuat filem konvensional. Fasa yang dimaksudkan ini adalah genre komedi dan seram. Ini adalah kerana pada arus konvensional, filem atau drama dalam genre komedi atau seram ini mendapat sambutan yang begitu tinggi daripada penonton. Samada untuk filem ataupun drama televisyen kedua-duanya mendapat sambutan yang tinggi. Oleh yang demikian pihak pembikin filem atau drama mendapat keuntungan yang sangat tinggi.

    Akhirnya karya yang di anggap Islamik pada awalnya kini berhadapan dengan pelbagai dilema. Ada yang mahu karya Islamik seperti ini berteraskan dakwah. Ada juga yang mahu melihat produk karya Islamik ini hanya berteraskan kepada hiburan dan keuntungan semata-mata. Ini adalah dilemma yang paling asas berlaku didalam karya filem atau drama Islamik masakini. Dilema ini tidak sama dengan arus konvesional kerana arus konvensional tidak terikat kepada satu-satu peraturan semata-mata. Tetapi produk filem atau drama Islamik ini membawa satu beban yang berat iaitu “Islamik” itu sendiri. Bahkan bagi pembikin filem atau drama yang ada sedikit tanggungjawab untuk meletakkan karya Islamik ini di atas nama dakwah juga berhadapan dengan dilema yang kritikal iaitu sejauh mana pula karya ini benar-benar patuh syariah.

Dilema Filem dan Drama berciri Islamik .

1. Watak yang mengajar masyarakat berbuat jahat.

    Dilema ini adalah dilemma utama yang sangat kritikal tanpa disedari . Terdapat beberapa filem dan drama yang mungkin objektif prosedur untuk mendidik penonton agar menjauhi dadah,rempit,zina,judi dan sebagainya. Malangnya filemdan drama seperti inilah yang sebenarnya yang mengajar penonton cara-cara untuk melakukan kesalahan jenayah ini tanpa disedari. Daripada tidak tahu di mana atau cara untuk mendapatkan dadah, anak remaja sudah mengetahui istilah-istilah seperti tokan, gam,ais dan sebagainya. Filem dan drama mengenai perlumbaan haram pula hanya menambahkan lonjakan adrenalin dalam jiwa remaja untuk melakukkan aksi yang sama malah melakukan jenayah seperti ragut sama seperti mana penjenayah-penjenayah rempit lakukan didalam filem.
  
   Malah yang lebih membahayakan lagi ialah bagaimana banyak juga filem dan drama yang menghidangkan kepada penonton bagaimana stretegi melakukan jenayah terancang seperti rompakan bank, penculikan serta melakukkan jenayah pembunuhan dan cara-cara untuk menghilangkan bukti di kawasan senario jenayah. Ada juga drama dan filem ini mengajar bagaimana hendak menipu dan merogol. Malah yang lebih membahayakan ialah filem-filem aksi menghidangkan cara-cara melakukkan keganasan seperti strategi memasang bom.

2. Dakwah yang tidak menepati akhlak pendakwah.

   Pendakwah yang biasanya digambar didalam filem dan drama adalah Ustaz. Di dalam hireaki masayarakat kita yang sebenar, Ustaz sangat dihormati. Ustaz dianggap sebagai mereka yang sangat berpengetahuan tinggi didalam Ilmu Agama. Oleh itu segala tindak tanduk dan tutur kata ustaz akan dianggap menepati syarak dan berakhlak mulia. Ini adalah kerana mereka (ustaz) mendapat pendidikan agama yang paling tinggi. Namun demikian seolah-olah ada usaha terancang untuk mencalar situasi kedudukan Ustaz dalam masyarakat melalui Filem dan Drama. Sebagai contoh dalam salah satu drama. Digambarkan seorang ustaz muda yang baru balik daripada Jordan. Pada awalnya digambar bahawa ustaz ini adalah watak ustaz muda yang baik, maju daripada cara berdakwah iaitu melalui medium teknologi maklumat seperti Facebook dan Blog. Namun yang menjadi cacatnya tidak pernah sekalipun dia menegur orang kampung dan jemaah masjid yang melakukan kesalahan. Ustaz ini hanya digambarkan menegur mereka ini dengan cara yang biadap. Sebagai contoh Ustaz ini terus mencelah dan menegur jemaah masjid dengan kasar. Lalu digambarkan Ustaz ini dipulaukan orang kampung dan gila kuasa kerana sikapnya yang biadap itu.

3. Dakwah yang jauh daripada syarak.

   Dalam senario yang lain. Seorang watak Ustaz dilihat sangat lemah dan hanya tenggelam dan hanyut dalam nostalgia dengan kekasih lamanya. Kelemahan ini sangat ketara. Majoriti dalam drama ini digambarkan Ustaz ini berhadapan dengan dilema yang sangat hebat. Meskipun pada awal drama ini mengambarkan Ustaz muda ini yang baru balik daripada Mesir dan akan melakukan sesuatu perubahan dalam kampunnya. Namun mesej itu sangat sedikit. Ustaz ini membina sekolah . Tetapi senario ustaz ini mengajar dan membuahkan kejayaan adalah tersangat sedikit berbanding dengan episodnya berhadapa dilemma percintaanya. Ada pembikin drama ini mahu megambarkan ciri percintaan yang dibenarkan oleh syarak ?. Jelas fahaman ini terpesong dan merbahaya kepada masyarakat. Yang lebih menjengkel ialah apabila ada di senario lain yang seorang ustaz melakukan janji temu untuk bertemu dengan seorang doktor perempuan di sebatang sungai di dalam hutan untuk membincangkan soal agama?. Malah Ustaz dan doktor perempuan ini jelas berpelukan berpegangan tangan. Kemudiannya berjanji untuk berkahwin . Tidakkah ini menambahkan kecelaruan dalam masyarakat. Adakah berduaan ini begini dibenarkan? Adakah percintaan dibenarkan sebelum berkahwin?

4. Watak yang tidak seperti watak sebenar artis di dunia sebenar.

   Mesej dakwah adalah mesej yang sangat suci. Buya Hamka pernah berkata bahawa dakwah yang disampaikan daripada lidah hanya akan sampai ditelinga sasaran dakwah sahaja sedangkan dakwah yang datang daripada hati akan sampai ke hati sasaran dakwah. Kata-kata ini mengambarkan bahawa watak dakwah bukanlah calang-calang orang yang patut membawanya. Apabila kita menonton cerita-cerita begini di kaca televisyen atau panggung wayang. Adakah kita tidak pernah kedengaran dialog begini samada daripada ahli keluarga,rakan-rakan atau kita sendiri. “Artis ini diluar sana (dunia sebenar) begitu seksi sekali,tetapi didalam filem bertudung litup.” Dialog sinikal seperti ini pastinya kita sudah biasa dengar. Akhirnya objektif dakwah itu tidak akan sampai kepada para penonton. Inilah dilema yang dihadapi penonton. Bahkan sewajarnya para artis ini menjadi lebih baik kerana mereka melakonkan dan sebagai pelakon terbaik mereka perlu menjiwai watak yang diberikan. Kita juga sebagai penonton sewajarnya mendoakan para artis ini segera mendapat hidayah.

5. Komedi yang tidak sensitif kepada masyarakat Islam.

    Seperti yang dinyatakan di atas. Filem atau drama berciri Islamik ini mula memasuki genre komedi. Memang benar pelbagai metod dakwah perlu diketengahkan untuk menarik perhatian para sasaran dakwah.Namun ia bukanlah isyarat yang membolehkan matlamat mengahalalkan cara. Terdapat beberapa filem dan drama yang jelas tidak menjaga sensitiviti masyarakat Islam. Sebagai contoh terdapat drama yang cuba memaparkan sekumpulan AJK Masjid yang kuat makan. Sehingga masjid berkenaan terkenal dengan kesedapan dan kemewahan makanan selepas pengajian. Malah dipaparkan juga Ustaz Jemputan yang datang ke masjid itu hanya kerana untuk makan. Terdapat dialog yang menunjukkan ustaz itu sanggup memberhentikan kuliah semata-mata kerana hidangan makanan telah tersedia.

    Dalam watak komedi ini juga memaparkan bagaimana para ustaz dan Ajk Masjid ini percaya kepada perkara Khurafat seperti Hantu Jepun yang menyebabkan kematian setiap Setiausaha Masjid yang sebernarnya meninggal kerana serangan jantung akibat kolestrol. Adakah watak ini melambangkan watak AJK Masjid dan Ustaz bodoh dan rendah pengetahuan agama. Dalam komedi berkenaan juga para watak ini menggunakan hujah agama yang salah apabila membahaskan soal alam gahaib?. Malahan ada dialog yang menyatakan bahawa seolah-olah Ustaz daripada pondok rendah pengetahuan agama.

   Memang benar komedi turut boleh menyampaikan mesej kepada penonton. Namun jika segala-galanya longgar ia akan menyebabkan para alim ulama dan ustaz kita akan dipndang lekeh dan hina. Perkara ini telahpun terjadi di dunia barat apabila para paderi dan rahib (wanita) mereka dipersenda. Akhirnya masyarakat hilang hormat dan percaya kepada mereka. Jika perkara ini tidak dibendung, rasa hormat dan percaya masayarakat kepada para alim ulama kita tidak mustahil akan turut terhakis suatu hari nanti. Perkara ini pasti menyebakan msalah sosial masyarakat akan parah.

6. Membenarkan Iblis menang.

    Baru-baru ini terdapat sebuah drama yang benar-benar sesat dan menyesatkan. Satu keadaan baru yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Dalam drama ini memaparkan ustaz-ustaz yang bertarung dengan Iblis telah terkalah. Ini jelas mahu membuktikan bahawa kuasa Iblis sangat berkuasa. Perkara ini turut dikritik oleh beberapa blogger hiburan. Perkara ini sangat bahawa kerana ia melibatkan soal akidah.

   Dalam watak drama dan filem bergenre seram ini para Ustaz hanya digambarkan sebagai watak penghalau Hantu dan Iblis. Watak sempit ini akan menagkibat masyarakat hanya menganggap bahawa peranan ustaz hanya tidak lebih sebagai pengahalau jin dan syaitan didunia sebenar.Malahan watak yang memegang peranan Ustaz dalam filem atau drama ini bukanlah mereka yang selayaknya memegang watak ini. Watak-watak ini hanya dilihat sebagai mempersendakan bacaan zikir dan bacaan Al-Quran untuk menghalau jin dan syaitan.

7. Zikir kalimah tauhid sebagai simbol ajaran sesat.

    Ajaran sesat sememangnya menjadi kudis dalam masyarakat Islam.Antara puncanya ialah apabila masyarakat mula mahu mencari Agama kerana fitrahnya manusia itu mahu mencari tuhan dan agama. Malangnya acapkali drama dan filem mengenai ajaran sesat ini disimbolkan dengan zikir kalimah tauhid sebagai lambang ajaran sesat. Mereka yang berzikir kalimah tauhid ini beramai-ramai digambarkan sebagai pengikut ajaran sesat. Ini pasti akan menyebabkan persepsi masyarakat kepada kumpulan zikir berubah dan menggap mereka yang berzikir ini sebagai pengikut ajaran sesat. Akibatnya filem atau drama yang yang cuba memaparkan bahayanya ajaran sesat hanya lebih menyebarkan ajaran yang salah mengenai Islam.

8. Konsep perhubungan sosial terbuka lelaki dan perempuan bukan muhrim dipopularkan.

   Terdapat banyak juga adegan filem dan drama berciri Islamik ini memaparkan pergaulan yang sangat bebas antara pendakwah lelaki atau perempuan dan dengan sasaran dakwah berlawanan jantina. Terdapatnya adegan peguam syarie makan berdua dengan pelanggan perempuan. Ustaz berjanji temu dengan doktor perempuan di tepi sungai. Ustaz berpengangan tangan. Terdapat juga adegan yang menunjukkan orang-orang surau bermain mata antara lelaki dan perempuan di sebalik tabir pemisah dalam surau, membasuh pinggang mangkuk bersama-sama antara lelaki dan perempuan. Ada juga ustaz yang balik selepas solat Isyak tetapi menemankan seorang gadis yang sahih bukan mahramnya balik ke rumah. Perlukah adegan-adegan seperti ini ?. Atau adakah agenda yang cuba membenrakan perlakuan sebegini didalam Islamik.

9. Program Televisyen Yang Tidak menepati Syarak

   Memang benar terdapat beberapa usaha membawa hiburan berciri Islamik ke arus hiburan perdana. Namun terdapat kejangalan apabila para pengacara rancangan televeisyen ini tidak memelihara soal tabaruj (Perhiasan). Sebagai contoh kebanyakkan pengacara wanita memang memakai tudung tetapi bersanggul tinggi seperti bonggol unta. Adakah perhiasa sebegini diberkan syarak. Malahan para imam muda disolekkan sehingga nampak begitu berkilat bibir-bibir meraka.

Sketsa-sketsa di atas menjelaskan kepada kita betapa kritikalnya isu karya yang dianggap Islamik masakini.

Akibat Salah Tafsir Karya Islamik

Terdapat dua kesan besar yang akan didapati apabila filem dan drama ditafsir sesuka hati oleh para pembikin filem.

1. Salah faham mengenai ajaran Islam sebenar terutamanya dari segi aspek Tauhid, Fekah dan Tasauf. Ketiga-tiga ciri ini adalah asas yang paling asas dalam ajaran Islam. Apabila Iblis dimenangkan. Pergaualan bebas dibenarkan . Tarbiyah seperti zikir dianggap sebagai simbol ajaran sesat. Maka akan rosaklah ajaran Islam yang sebenar. Ini memandangkan kuasa media yang sangat besar.

2. Lebih membawa kerosakan. Hujah ini berdasarkan bahawa kebanyakkan filem atau drama ini cuba memaparkan betapa bahaya dan betapa dasyatnya apabila manusia membuat dosa. Malangnya filem dan drama inilah yang menunjukkan cara-cara untuk melakukkan dosa. Terdapat juga adegan yang sebenarnya membahaya bahaya besar kepada negara secara khususnya. Seperti yang dinyatakan diatas bahawa terdapat filem dan drama yang mengajar penonton bagaiaman mahu membuat jenayah terancang seperti pencolekan, pembunuhan, rogol,penipuan malah cara untuk membuat bom. Kesan ini sangat besar samada kesan jangka pendek ataupun kesan jangka panjang. Kesan salah tafsir ini sangat penting untuk dibendung.

Kesan besar media

Menurut Dennis Mcquail (1996:53) seorang tokoh didalam dunia media massa pernah menyatakan bahawa antara peranan media ialah.

1. Berperanan meluaskan pengalaman dan pandangan kita dan memungkinkan kita memahami apa yang terjadi di sekitar kita, tanpa campur tangan pihak lain atau sikap memihak.

2. Pentafsir yang menjelaskan dan memberi makna terhdap peristiwa atau hal lain yang terpisah dan kurang jelas.

3. Pemberi dan pengantar informasi dan pendapat.

4. Jaringan interaktif yang menghubungkan komunikator dengan penonton melalui berbagai kaedah interaksi.

5. Penunjuk arah yang menunjukkan arah, memberikan bimbingan atau arahan kepada penonton.

6. Penyaring yang memilih bahagian mana senario yang yang perlu diberikan perhatian khusus dan menyisihkan senario yang lainnya, baik secara sedar dan penyisihan dan pengambaran sistematik maupun tidak.

7. Cermin yang memantulkan citra masyarakat terhadap masyarakat itu sendiri, biasanya pantulan citra itu mengalami perubahan kerana adanya penonjolan terhadap segi yang ingin dilihat oleh para anggota masyarakat, atau sering pula segi yang ingin mereka hakimi atau kritik.

8. Tirai atau penutup yang menutupi kebenaran demi pencapaian tujuan propaganda atau pelarian daripada suatu kenyataan.



Membina Karya Hasanah.

Ainon Mohd dalam buku beliau iaitu “Panduan Menulis Novel :Teknik Surah Yusuf” menggariskan bahawa terdapat beberapa garis besar yang perlu dijadikan panduan untuk membina karya Hasanah. Karya Hasanah adalah dimaksudkan karya yang baik. Iaitu karya yang mampu memandaikan masyarakat dan memberi ilmu yang benar. Beliau menyatakan bahawa ciri-ciri karya tidak hasanah adalah seperti berikut.

1. Mempromosikan Idea Yang mengatakan Tuhan tidak wujud.

2. Mempromosikan idea-idea yang tidak selaras dengan ajaran di dalam al-Quran dan hadis.

3. Menimbulkan kesan psokologi dan emosi yang menyebabkan timbul keinginan pembaca/penonton mahu melakukkan perkara yang dilaran al-Quran dan hadis.

4. Memberi kemenangan moral kepada si pendosa, yakni watak yang melakukan perbuatan salah.

5. Memberi status rendah kepada Islam manakala agama lain diberikan status yang tinggi dan mulia.


Masalah fahaman realisme dalam karya Islamik.

    Secara tanpa sedar sebenar masalah utama didalam karya Islamik ialah apabila para pembikin filem atau drama ialah apabila fahaman realisme dianuti dan disebarkan secara sedar atau tanpa sedar. Menurut buku The Oxford Companion to American Literature, Realisme adalah terma yang digunakan untuk komposisi sastera yang bertujuan pada tafsiran sebenar untuk setiap aspek kehidupan, bebas dari prasangka subjektif, idealisme, atau warna romantis.

Realism, term applied to literary composition that aims at an interpretation of the actualities of any aspect of life, free from subjective prejudice, idealism, or romantic color.- The Oxford Companion to American Literature

Menurut Pam Morris didalam bukunya Realism membahaskan bahawa realisme pada seni visual dan sastera adalah merujuk kepada pendekatan umum untuk menggambarkan “ ia di dalam susunan yang sekular dan peraturan empirikal”. Dimana perkara ini dianggap sebagai muncul daripada pihak ketiga secara objek realiti, tanpa meletakkan tafsiran lain semula.


Realisme in the visual arts and literature refers to the general attempt to depict subjects "in accordance with secular, empirical as they are considered to exist in third person objective reality, without embellishment or interpretation. -Realism

Secara mudahnya fahaman realisme ini adalah kecenderungan seseorang untuk meletakkan keadaan sebenar dunia realiti kepada karyanya tanpa memikirkan akibatnya. Fahaman ini menyebabkan para penonton akan mengetahui perkara sebenar yang berlaku didalam dunia sebenar sedangkan sebelum ini penonton ini tidak mengetahuinya. Keaadaan ini baik untuk mesej atau pengajaran yang baik tetapi ia akan bertukar menjadi tragedi sekiranya pembikin drama atau filem memapar mesej yang negatif dan ilmu yang tidak benar. Keadaan ini berlaku apabila mereka memikirkan penonton patut tahu keadaan sebenar dunia tanpa memikirkan apakah kesan dan akibat kepada penonton. Faham realisme ini membenarkan segala perkara realiti didapaparkan samada ia sesuai dipaparkan atau tidak kepada penonton. Oleh yang demikian secara sedar atau tidak sedar ada usaha untuk menyesuaikan karya Islamik dengan faham realisme. Sedangkan Islam hanya membenarkan contoh teladan yang baik kepada khalyak masyarakat.

Sudah Sampai masanya.

Oleh itu adalah wajar industri hiburan bertemakan Islam diadakan badan pengawas seperti JAKIM mengawal produk halal negara. Badan penilai ini bolehlah mempunyai ciri yang sama dengan FINAS yang melakukan penapisan filem yang sesuai ditayangkan di negara kita. Filem atau drama yang ingin di tayangkan dalam kosnesp karya Islamik perlulah melepasi piawaian patuh syariah atau “syariah compliant”.

Saranan ini sangat penting memandangkan kesan media sangat besar terutamanya kepada generasi muda Negara. Kita tidak mahu fahaman mengenai syariah sebenar kacau bilau. Sebagai contoh anak gadis kita di sekolah mula memakai tudung berbongol. Ini adalah kesan daripada drama dan filem yang dianggap Islamik sedangkan pemakaian tudung berbonggol adalah pemakaian tidak patuh syariah. Konsep Sastera Patuh Syariah adalah konsep yang di ketengahkan oleh Ainon Mohd. Beliau banyak mengetengahkan teori Surah Yusuf sebagai panduan untuk menghasilkan sastera Islamik yang patuh syariah. Seperti senario diatas , banyak keadaan senario drama dan filem bertemakan Islamik adalah tidak patuh syariah. Oleh yang demikian panel pengawasan untuk filem dan drama Malaysia perlu segera diwujudkan untuk memastikan kemurniaan dan kesucian Islam . Sekarang adalah masa yang terbaik memandang banyak usaha pengeluar filem dan drama sedang menghasilkan filem dan drama bertemakan Islam dan keinsafan.

Rujukan:

Ainon Mohd. Panduan Menulis Novel:Teknik Surah Yusuf. PTS Profesional 2011.

James D. Hart and and Phillip W. Leininger. "Realism." The Oxford Companion to American Literature. 1995. Encyclopedia.com. 6 Jun. 2011

Pam Morris. Realisme. New Critical Idiom. Taylor and Francis Book Limited.2003





Latar Belakang Penulis.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer( Pengurusan Sistem Maklumat) Universiti Teknologi Malaysia.Merupakan mantan Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Berasal daripada Pulau Pinang.Aktif dalam gerakan sosial masyarakat dan penyebaran ilmiah. Kini penulis adalah ahli eksekutif Assembly of Intellectual Muslim (HAKIM). Berkemahiran dalam latihan Kepimpinan, Pegurusan Strategik, Dakwah dan Tarbiyah, Pembinaan Insan, Latihan Pemikiran Lateral, Latihan Penulisan, Isu Semasa, Dan Latihan Pelajar Sekolah. Aktif sebagai penulis dan banyak menulis di majalah dan akhbar. Blog penulis ialah www.firdauskhairi.blogspot.com. Boleh dihubungi di melalui emel; firdaus.khairi@gmail.com.

No comments: