Catatan ini adalah penghargaan buat umi isteri saya yang baru sahaja pulang ke Rahmat Allah SWT.
Alhamdulillah.. saya sempat bertemu umi. Umi seorang manusia yang sangat baik. Mak sebenar Isteri saya telah meninggal dunia sejak umur isteri saya sekitar tujuh tahun. Sejak itu Isteri saya dan adik beradiknya telah dijaga oleh Umi.
Umi sebenarnya adalah kakak kepada Abah Isteri Saya. Umi juga adalah seorang bekas guru yang telah lama mendidik para murid di Ma'ahad al-Ehya al-Syarif,Semanggol. Maahad ini telah di asaskan pada 1934 oleh bapanya Ustaz Abd Rahman Mahmud dan di tadbir bersama oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir.
Umi seorang yang kuat membaca, kuat mengaji dan seorang yang sangat menjaga makan dan minumnya. Ketika umi sedang sakit kuat. Isteri saya ada disisinya sambil mengajar umi mengucapkan kalimah tauhid. Allah, Allah, Allah. Umi ikut ucapkan kalimah agung itu. Di saat umi sakit lebih kuat, umi mengangguk tanda faham. Sehinggalah hembusan nafasnya yang terakhir.Alhamdulillah. Moga-moga umi pergi dalam husnul khatimah( kesudahan yang baik). Ramai orang berkata, itu tanda orang yang banyak ilmu.
Umi sangat baik, umi mendambakan seluruh hidupnya kepada ilmu,menjaga anak-anak abah (bersama abah juga). dan mendidik pelajar di Ma'ahad al-Ehya as-Syarif. Sehinggalah awal tahun lepas(2008) bila umi semakin sakit kuat barulah beliau berhenti mengajar. Umi sangat mahir dalam Bahasa Arab dan Ilmu Sejarah dan Ilmu Agama yang lain. Nama anak kami Wardhatussyifa` diambil atas cadangan dari umi. Wardah " bunga mawar".
Ketika pagi hari pengebumian umi, cuaca amat panas sekali. Seawal 7 pagi, murid-murid Ma'ahad al-Ehya al-Syarif mula memenuhi rumah . Di mulai dengan pelajar perempuan dan kemudian pelajar lelaki. Suasana sayu sekali bila sedun sedan air mata mula berlinangan di kalangan murid-murid umi. Surah Yassin dibaca oleh mereka.
Muslimat PAS Taiping memandikan mayat umi sekitar jam 9 pagi. Alhmdulillah semuanya berjalan lancar
Setelah dikafankan, umi diletakkan di ruang tamu. Suasana bertambah sayu, saya berkesempatan untuk mengucup dahi umi. Raut wajah umi ketika itu tidak langsung memperlihatkan umi sebenarnya menderita barah sejak 4 tahun dahulu. Wajah umi bening sekali dan tenang sekali.
Saya acap kali tidak tertahan daripada mengalirkan air mata mengenangkan apakah nasib diri sendiri di akhir hayat nanti. Manusia yang baikkah atau sebaliknya ..nauzubillah. Semoga Allah membantu kita dengan hidayah dan taufiqNya.
Sekitar jam 10 45. Jasad umi mula di bawa masuk ke dalam van. Suasana menjadi mendung sekali. Saya bimbang hujan akan turun. Angin turut bertiup sederhana kuat. Sampai sahaja di masjid Rahmaniah. Ruang masjid sudah dipenuhi dengan orang ramai dan murid-murid Ma'ahad al-Ehya al-Syarif. Saya angarkan lebih kurang 300 hingga 350 orang menyembahyangkan umi. Umi dikebumikan berhampiran dengan tanah perkuburan sanak-saudara Ustaz Abd Rahman Mahmud. Berakhirlah kisah seorang insan yang sangat baik, Ustazah Kalthum. Sebaik sahaja dikebumikan, cuaca menjadi kembali panas. Tiada lagi tanda hari hendak hujan.
Semoga kita mengambil iktibar, kita tertanya pula bagaimana pula akhir hayat kita. Dan semoga kita sedar, setiap pertemuan ada perpisahan, setiap yang diciptakan pasti musnah binasa. Hanya Allah SWT kekal abadi.Apa guna mengejar dunia yang sedikit ini berbanding redha Allah SWT. Pangkat, harta, perhiasan dunia adalah palsu sahaja.
KITA YANG DAIF
2 comments:
Moga rohnya dicucuri rahmatNYA..
takziah....
Post a Comment