Ubah fokus anak ziarah hanya mahu duit raya
UTUSAN
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm
KINI umat Islam berada di penghujung Ramadan. Bulan yang sepatutnya menjadi madrasah mendidik manusia
menjadi manusia lebih bertaqwa dan beradab. Tidak berapa lama lagi hari lebaran akan menjelang.
Pasti menjadi kegembiraan bagi umat Islam. Sungguh istimewanya Islam. Sehingga menyambut hari raya juga dikira sebagai ibadah. Justeru, Rasulullah menegaskan kepada Sayidina Abu Bakar r.a. dengan sabda baginda yang
bermaksud: "Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari perayaan. Dan ini merupakan hari perayaan kita." (Hadis Bukhari 952 dan Muslim 892)
.
Setiap kaum mempunyai budaya masing-masing yang tersendiri dan unik. Bagi umat Melayu, bangsa ini sudah turun-temurun dikenali sebagai bangsa yang mempunyai adab sopan yang tinggi. Hormat menghormati dan kasih sayang telah menjadi asas kepada pembentukan peradaban umat Melayu di Nusantara ini.
Faktor peradaban adalah ciri penting yang menentukan ketinggian tamadun sesuatu bangsa. Sebab itulah kadang- kala tamadun disinonimkan dengan peradaban bangsa. Malahan peradaban bangsa dilihat sebagai asas bagi ciri manusia yang bertamadun.
Oleh yang demikian, umat Melayu sendiri sudah mempunyai budaya tersendiri dalam menyambut 1 Syawal. Budaya ziarah menziarahi menjadi senario indah setiap kali 1 Syawal menjelma. Dengan budaya ziarah menziarahi ini harus menjadi pakej ibadah bagi umat Islam. Dengan ibadah ziarah menziarahi kita dapat menjalinkan talian persaudaraan silaturahim, berkenalan dan bermaafan antara satu sama lain dan tidak lupa memberi duit raya.
Namun demikian, suasana indah ini lama-kelamaan menjadi pudar. Ibadah menyambut hari raya lama kelamaan menjadi semakin jauh daripada matlamat asal perayaan ini.
Aspek yang hendak ditekankan di sini adalah penghayatan sambutan Aidilfitri di kalangan anak muda terutamanya mereka yang masih di bangku sekolah. Mentaliti mengutip 'duit raya' menjadi agenda penting dalam minda anak- anak.
Sedangkan tujuan ziarah menziarahi itu adalah untuk mengeratkan tali persaudaraan Islam. Menerima duit raya tidak salah. Malah ia dapat menggembirakan kanak-kanak kerana merekalah golongan yang paling gembira menyambut hari lebaran.
Namun demikian mentaliti mengutip duit raya sebagai agenda utama ziarah anak-anak semakin mengakar dalam pemahaman mereka menyambut Aidilfitri ini. Gejala ini tidak wajar kita menyalahkan mereka seratus peratus.
Kita sebagai orang dewasa juga perlu didakwa kerana menyemaikan bibit material ini kepada mereka. Kita pasti bahawa kita pernah menyebut skrip ini. "Adik nak masuk makan kuih ke atau nak kutip duit raya?"
Sudah pastilah jawapan kanak-kanak ini adalah untuk mengutip duit raya. Lebih parah lagi apabila kanak-kanak akan merungut sekiranya jumlah yang diberi hanyalah
Jadi, adakah kita adil jika kita hanya meletakkan kanak-kanak sahaja di kandang pesalah? Oleh yang demikian, kita sebagai orang dewasa perlulah juga bertanggungjawab menyemai bibit materialistik ini. Akhirnya nanti kita bimbang, persaudaraan kita hanyalah 'plastik'.
Adalah wajar untuk kita sama-sama kembali memperbetulkan agenda mengutip duit raya. Ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak tentang tujuan asas menyambut Aidilfitri. Anak perlu dijelaskan bahawa 'duit raya' adalah ganjaran jika ada, bukanlah kewajipan.
Andai mengutip duit raya ini menjadi kemestian, pastilah menyambut Hari Raya Aidilfitri menjadi beban kepada mereka yang tidak berada. Anak perlu dijelaskan bahawa sambutan Aidilfitri berdasarkan kepada dua asas iaitu 'hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia'.
Ibadah menyambut hari raya akan dimulakan dengan membayar zakat fitrah sebagai lambang simpati dan persaudaraan Islam yang kukuh antara yang berupaya dengan mereka yang kurang berada. Islam mendidik kita untuk lebih banyak memberi daripada menerima.
Inilah tandanya kasih sayang berlimpah-ruah untuk umat Islam di pagi Syawal. Islam tidak mendidik kita untuk banyak meminta daripada banyak memberi.
Akhirnya kemuncak Syawal ialah kita menunaikan solat sunat Aidilfitri sebagai lambang syukur dan perhambaan yang tertinggi kepada Allah Yang MahaBerkuasa. Inilah puncak tertinggi rasa bertuhan dan kehambaan.
MOHD. FIRDAUS KHAIRI
Bandar Putra, Selangor
No comments:
Post a Comment