(UTUSAN MALAYSIA 05 FEBRUARY 2008)
HARI Wilayah Persekutuan telah disambut pada 1 Februari lalu. Kuala Lumpur pada mulanya dimiliki oleh Kerajaan Selangor yang telah menyerahkannya kepada Kerajaan Persekutuan pada 1 Februari 1974.
Jumaat lalu genaplah 34 tahun Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan.
Namun suasana hari ini tidak sama dengan suasana Kuala Lumpur 75 tahun dahulu, sepertimana yang telah ditulis dalam rencana Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam rencana tersebut, Norain Sayer Alias seorang penduduk Kampung Baru menyatakan bahawa pada masa dahulu beliau sentiasa berasa selamat tinggal di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun apabila pembangunan yang berlaku di Kuala Lumpur tidak seimbang maka suasana tidak lagi selamat. Bangunan pencakar langit yang banyak menyapu angkasa di Kuala Lumpur tidak melambangkan ketinggian nilai keinsanan. Apa yang berlaku sekarang amat menyedihkan.
Kes penculikan, pembunuhan, rogol, gejala dadah dan banyak lagi semakin menjadi-jadi.
Sempena Hari Wilayah Persekutuan, saya terpanggil untuk melahirkan rasa kehairanan mengenai sejauh mana kita bersungguh-sungguh ke arah mewujudkan bandar raya selamat.
Jalan Chow Kit, Lorong Haji Taib dan beberapa batang jalan lagi di Kuala Lumpur terus mempertahankan imej sarang masalah, jenayah dan maksiat.
Satu masa dahulu kita mendengar mengenai usaha merubah wajah jalan-jalan. Namun setelah 34 tahun, masalah-masalah sosial, jenayah dan pelacuran terus menghuni di jalan-jalan itu.
Lorong Haji Taib terus menjadi ‘hanyir’ dengan pelacur-pelacur yang menjijikkan. Padahal bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak jauh dari kawasan tersebut.
Saban malam urus niaga hanyir ini terus berlaku tanpa usaha serius pihak berkuasa bagi menanganinya.
Kehanyiran lorong tersebut ditambah dengan suasana kekotoran sampah sarap dan buangan sisa oleh pekedai-pekedai terutama restoran makanan. Ini memburukkan wajah Kuala Lumpur yang kita cintai.
Kebanjiran warga asing telah merubah suasana sosial Kuala Lumpur. Kebanjiran mereka menambah kekusutan yang berlaku di sekitar kawasan berkenaan.
Jalan Tuanku Abdul Rahman tidak lagi bercirikan Malaysia. Lebih kita berasa seperti di Jakarta. Kebanjiran warga asing tanpa kawalan melahirkan rasa kurang selesa dan tidak selamat di kalangan warga tempatan.
Kawasan Puduraya antara kawasan tumpuan ramai yang paling tidak selamat. Padahal Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tidak jauh dari situ.
Siapa yang dapat menafikan bahawa kawasan Puduraya adalah kawasan yang terkenal sebagai lokasi peras ugut dan jenayah.
Sekali lagi kita melahirkan rasa kehairanan sejauh mana kesungguhan kita untuk melahirkan bandar raya selamat.
Kita mengucapkan tahniah atas usaha kerajaan untuk memperbanyakkan CCTV di Kuala Lumpur. Namun timbul persoalan sejauh mana usaha ini dapat mengurangkan kadar jenayah?
Sebagai contoh kes adik Nurin Jazlin Jazimin (mangsa culik yang mati dibunuh dengan kejam). Wajah dan nombor plat kenderaan penjenayah tidak dapat dilihat dengan jelas.
Hasilnya, sehingga sekarang kes tersebut belum dapat diselesaikan. Seluruh rakyat Malaysia berasa sedih dan marah.
Oleh yang demikian, marilah kita memperbaharui tekad untuk benar-benar serius mewujudkan bandar raya selamat. Selama mana kita mahu membiarkan Lorong Haji Taib menjadi hanyir. Sejauh mana kita mahu sampah sarap dan jenayah memenuhi pusat bandar raya.
Keselamatan dan kesentosaan hanya akan lahir dari sikap setiap peribadi yang mendiami kawasan ini. Usaha pembangunan bukan sahaja hanya ditumpukan pada pembangunan material tetapi pembangunan keinsanan juga perlu diseimbangkan.
– MOHD. FIRDAUS MOHAMED KHAIRI,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia,
Kompleks Anjung Rahmat,
Kuala Lumpur.
(SILA RUJUK http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm )
No comments:
Post a Comment