UTUSAN MALAYSIA
21-12-2007Jangan jadikan pendidikan sumber keuntungan
Pendapat
BARU-baru ini Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaporkan bahwa mereka sedang mengkaji keperluan untuk melaksanakan sistem pembayaran pinjaman sewaktu peminjam masih dalam sesi pengajian.
Menurut PTPTN lagi tujuan kajian itu adalah bagi mengelak pelajar menanggung hutang lebih tinggi dan ekoran jumlah pinjaman tertunggak semakin meningkat. Melalui sistem yang dijangka dilaksanakan beberapa tahun lagi itu, PTPTN akan mempunyai skim yang sama dilaksanakan oleh syarikat perbankan yang menawarkan pinjaman bagi tujuan melanjutkan pelajaran di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).
Mahasiswa kini telah pun menjadi generasi yang telah berhutang sebelum mendapat pekerjaan. Sebelum ini PTPTN telah pun mengorak langkah baru dengan membebankan ibu bapa dengan syarat baru iaitu bagi setiap pelajar yang ingin mendapatkan pinjaman harus mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebelum usia mereka 18 tahun.
Terma yang menyusahkan pula apabila ibu bapa berpendapatan bawah RM2,000 perlu mempunyai akaun RM500 dalam SSPN anaknya, manakala ibu bapa berpendapatan lebih RM2,000 perlu ada RM3,000 dalam akaun SSPN bagi melayakkan anak mereka memohon PTPTN. Dalam keluhan seorang ibu, Roslani Sulaiman, dalam suratnya menyatakan syarat baru itu sebagai membebankan dan boleh menjerat orang tua.
Inilah akibatnya apabila setiap benda kita menjadikan sebagai sumber keuntungan materialistik. Akibatnya matlamat untuk melahir modal insan yang berdaya saing untuk memajukan negara menjadi terbantut apabila generasi baru menjadi generasi yang berhutang.
PTPTN seharusnya melakukan kajian bagaimana untuk memudahkan pelajar, bukannya membebankan pelajar yang terpaksa memikirkan bagaimana untuk membayar pinjaman sebelum tamat pengajian. Cadangan ini secara tidak langsung sebenarnya membebankan ibu bapa.
Seandainya cadangan ini dilaksanakan, saya yakin dan percaya lebih ramai mahasiswa menjadi tidak fokus kepada pengajiannya. Akibatnya ramai mahasiswa akan bekerja sambilan di luar kampus. Kita tidak dapat menyalahkan mahasiswa kerana melanggar peraturan dengan bekerja di luar. Ini adalah kerana mereka terdesak untuk membayar pinjaman yang membebankan pelajar. Akibatnya graduan universiti yang dilahirkan juga kurang berkualiti.
Kita berasa pelik dengan PTPTN. Sudah lama pelbagai pihak mencadangkan agar sistem riba 3 peratus yang di kenakan untuk membayar pinjaman ini ditukar kepada sistem yang lebih mengikut syarak. Sekurang-kurangnya PTPTN perlu serius untuk menukar sistem berasaskan faedah kepada sistem yang lebih berlandaskan syariat. Tambahan pula majoriti mahasiswa adalah mereka yang beragama Islam.
Sewajarnya pendidikan menjadi alat untuk memajukan negara secara holistik bukanlah menjadi alat untuk mengejar keuntungan. Sekiranya kita merujuk kepada negara Jerman - sebuah negara yang maju yang telah lama mengenakan yuran percuma kepada pelajar universiti di peringkat ijazah pertama. Ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan untuk menjadikan pendidikan sebagai alat kemajuan. Hasilnya Jerman menjadi antara negara yang paling maju teknologinya terutama dalam industri automobilnya.
Marilah kita bersama-sama mengubah persepsi kita kepada pendidikan. Selagi kita menjadikan pendidikan sebagai sumber keuntungan, maka tujuan sebenar pendidikan untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek tidak akan tercapai. Marilah kita sama- sama meletakkan pendidikan di tempatnya yang sebenar - iaitu sebagai alat untuk melahirkan manusia yang berguna kepada negara, bangsa dan agama.
– MOHD. FIRDAUS MOHAMED KHAIRI,PKPIM, Kuala Lumpur.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=1221&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_09.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment