Thursday, December 27, 2007

ISU PTPTN 2

Kaji semula sistem bayaran pinjaman PTPTN

UTUSAN MALAYSIA 25-12-2007

Pendapat

BARU-baru ini Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaporkan bahwa mereka sedang mengkaji keperluan untuk melaksanakan sistem pembayaran pinjamannya sewaktu peminjam masih dalam sesi pengajian.

Menurut PTPTN, kajian ini bertujuan mengelakkan pelajar menanggung hutang lebih tinggi dan mengelakkan daripada jumlah pinjaman tertunggak semakin meningkat.

Melalui sistem yang dijangka dilaksanakan dalam masa beberapa tahun lagi itu adalah sama seperti dilaksanakan syarikat perbankan yang menawarkan pinjaman bagi tujuan melanjutkan pelajaran di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).

Generasi mahasiswa kini telah menjadi generasi yang telah berhutang sebelum mendapat pekerjaan.

Sebelum ini PTPTN telah pun mengorak langkah baru dengan membebankan ibu bapa dengan syarat baru iaitu bagi setiap pelajar yang ingin mendapatkan pinjamannya, anak mereka harus mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebelum usia mereka 18 tahun.

Terma yang menyusahkan pula apabila ibu bapa berpendapatan bawah RM2,000 perlu mempunyai akaun RM500 dalam SSPN anaknya, manakala ibu bapa berpendapatan lebih RM2,000 perlu ada RM3,000 dalam akaun SSPN bagi melayakkan anak mereka memohon PTPTN.

Inilah masalahnya apabila setiap benda kita hendak jadikan ia sebagai sumber keuntungan materialistik.

Akibatnya matlamat melahir modal insan yang berdaya saing untuk memajukan negara menjadi terbantut apabila generasi baru menjadi generasi yang berhutang.

PTPTN seharusnya melakukan kajian bagaimana untuk memudahkan pelajar, bukannya menambah beban pelajar yang terpaksa memikirkan bagaimana untuk membayar pinjaman sebelum tamat pengajian. Cadangan ini secara tidak langsung sebenarnya membebankan ibu bapa.

Seandainya cadangan ini dilaksanakan, saya percaya lebih ramai mahasiswa menjadi tidak fokus kepada pengajiannya. Akibatnya ramai mahasiswa akan bekerja sambilan di luar kampus. Kita tidak dapat menyalahkan mahasiswa kerana melanggar peraturan dengan bekerja di luar. Ini kerana masalah terdesak untuk membayar pinjaman yang membebankan pelajar. Akibatnya graduan universiti yang dilahirkan adalah kurang berkualiti. Kita berasa pelik dengan PTPTN. Sudah lama pelbagai pihak mencadangkan agar sistem riba tiga peratus yang dikenakan untuk membayar pinjaman ini ditukar kepada sistem yang lebih mengikut syarak.

Sudahlah para pelajar dipaksa berhutang, pelajar juga terpaksa mengikuti sistem pinjaman riba yang jelas bertentangan dengan syarak. PTPTN perlu serius untuk menukar sistem berasaskan riba ini kepada yang lebih berlandaskan syariat. Tambahan pula majoriti mahasiswa adalah mereka yang beragama Islam.

Sewajarnya pendidikan menjadi alat untuk memajukan negara secara holistik. Bukan menjadi alat untuk mengejar keuntungan.

Sekiranya kita merujuk kepada Jerman, sebuah negara maju telah lama menyediakan yuran percuma kepada pelajar universiti di peringkat ijazah pertama.

Ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan Jerman untuk menjadikan pendidikan sebagai alat kemajuan. Kesannya Jerman menjadi antara negara yang paling maju teknologinya terutama dalam industri automobilnya.

Kita perlu bersama-sama mengubah persepsi kepada pendidikan negara. Selagi kita menjadikan pendidikan sebagai sumber keuntungan, maka tujuan sebenar pendidikan untuk menghasilkan modal insan yang berkualiti dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek akan terhalang.

Pendidikan patut diletakkan pada tempatnya yang sebenar iaitu sebagai alat untuk melahirkan manusia yang berguna kepada negara, bangsa dan agama.

– Mohd. Firdaus Mohamed Khairi, Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=1225&pub=utusan_malaysia&sec=
rencana&pg=re_09.htm&arc=hive

No comments: