Jangan asyik merungut pinjaman PTPTN
UTUSAN MALAYSIA 27-12-2007Pendapat
SAYA membaca pendapat Mohd. Firdaus Mohamed Khairi, Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mengetengahkan beberapa isu berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Saya berpendapat isu yang beliau ketengahkan cuma ada relevannya jika berfikir mengikut perasaan sahaja. Isu pertama iaitu pelajar terpaksa bekerja sewaktu dalam pengajian akan menyebabkan pelajar tidak fokus kepada pengajian, saya fikir pelajar ini jika tidak bekerja pun memang tidak fokus.
Sewaktu PTPTN masih mengamalkan sistem menukar status pinjaman kepada status biasiswa untuk pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama, berapa kerat sangat pelajar yang memanfaatkannya. Sepatutnya ramai pelajar yang memberi fokus untuk mendapat ijazah kelas pertama supaya tidak perlu membayar PTPTN dan ribanya.
Bekerja bukanlah satu alasan untuk tidak fokus, tetapi sikap adalah penyebabnya. Malas, mentaliti nak disuap setiap masa, mahukan bantuan atas segala perkara dan sebagainya yang melemahkan pencapaian pelajaran mereka.
Ramai pelajar di luar negara yang bekerja untuk menampung perbelanjaan harian dan yuran pengajian. Pelajar ini selain mendapat wang saku tambahan, mereka juga lebih berdaya saing dan matang.
Pelajar ini juga menjadikan diri mereka lebih mudah mendapat pekerjaan kerana pengalaman yang sedia ada. Pelajar Malaysia juga ramai yang bekerja sewaktu belajar di luar negara. Pelajar beginilah yang kita perlukan kerana mereka lebih bertanggungjawab.
Saya juga ingin menyentuh mengenai pinjaman pelajar akan ditahan oleh PTPTN jika gred purata mata kumulatif (CGPA) rendah daripada tahap yang ditetapkan. Sila kaji berapa ramai pelajar yang ditahan pinjamannya kerana mendapat CGPA yang rendah? Jangan lulus cukup makan sahaja walaupun dengan pelbagai bantuan yang diterima.
Pelajar ini marah bila pinjaman dihentikan tapi tidak pula mahu berubah. Macam-macam alasan yang diberikan oleh mereka untuk tidak berjaya mendapat CGPA yang tinggi. Persatuan pelajar perlu bantu mereka untuk sedar.
Pelajar yang ditahan pinjaman ini adalah pelajar yang tidak belajar, malas ke kelas, mempunyai agenda lain dan tidak bersungguh-sungguh.
Isu kedua, mengenai kemampuan. Kadangkala saya perhatikan keluarga yang mendakwa tidak mampu membiayai kos pelajaran anak, sebaliknya mempunyai saluran Astro dan memakai barangan kemas. Susah untuk percaya mereka tidak mampu menabung untuk Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Mungkin bukan tidak mampu tetapi tidak meletakkan pendidikan sebagai keutamaan. Jika benar-benar tidak mampu, anak-anak mereka boleh bekerja selepas tamat SPM untuk membantu ibu bapa mengumpulkan wang untuk disimpan di dalam akaun SSPN.
Isu ketiga pula mengenai riba tiga peratus yang dikenakan. Mengenai riba ini, mungkin ramai terlepas membaca penerangan terperinci yang berkali-kali dikeluarkan oleh pihak PTPTN. Saya kurang faham mengapa perkara ini masih berbangkit semula?
Kalau diperhatikan, pelajar-pelajar yang kononnya tidak mampu membayar riba ini sanggup membayar riba 18 peratus setahun untuk kad kredit yang mereka mohon setelah tamat pengajian. Sila buat kajian mengenai bilangan graduan yang memegang kredit kad di seluruh negara.
Mereka tidak pernah merungut atau terasa ditindas malah mereka bangga setiap kali menggunakan kad kredit tersebut. Kenapa apabila kena bayar tiga peratus untuk pendidikan mahu dipersoalkan?
Cuba buat kaji selidik harga telefon bimbit yang dimiliki oleh semua pelajar ini, tidak keterlaluan jika saya katakan harganya lebih mahal daripada telefon bimbit yang digunakan oleh pensyarah mereka.
Pelajar ini sanggup berhabisan kerana telefon bimbit dan membeli prepaid tapi nak beli buku atau bahan bantuan belajar merungut kerana kononnya harga tinggi. Selain daripada itu mereka juga mampu mengundi untuk rancangan realiti TV dan memuat turun lagu-lagu yang mahal untuk deringan telefon bimbit. Banyak juga pelajar yang mampu membeli baju dan aksesori yang mahal.
Isu terakhir, kebimbangan mengenai sistem pendidikan yang berorientasikan keuntungan adalah sangat sempit sekali. PTPTN membantu dengan mengeluarkan pinjaman. Sila semak berapa ramai graduan yang telah dilahirkan dengan bantuan PTPTN.
Bagaimanapun saya amat gembira jika kita menyeru pelajar yang masih belum membayar pinjaman PTPTN supaya tampil membayar untuk kemudahan pelajar lain yang bakal memohon pinjaman.
Tidak ada apa yang percuma. Jika hendak menunaikan fardu haji sekalipun memerlukan perbelanjaan yang besar.
Persatuan pelajar perlu memperjuangkan isu baru untuk pelajar contohnya mengajak berusaha lebih kuat dan lulus dengan ijazah kelas pertama. Membantu pelajar menukar minda yang sempit kepada yang lebih terbuka. Lebih banyak membaca dan mempelbagaikan ilmu supaya menjadi graduan yang lebih versatil dan menjadi rebutan majikan.
Di samping itu penting juga untuk membentuk pelajar yang lebih berdisiplin seperti datang awal ke kuliah, menyiapkan tugasan pada waktu yang ditetapkan dan mempunyai sifat jati diri.
Jangan kita asyik merungut mengenai riba dan membantah kedatangan artis sahaja. Bantulah para pelajar untuk berjaya supaya mereka boleh membayar apa sahaja bentuk pinjaman dan membantu orang lain belajar dengan bayaran tersebut.
– NORMALIZA MAHADI,
Petaling Jaya, Selangor.
No comments:
Post a Comment