Thursday, December 27, 2007

KEKELIRUAN KOS PTPTN

Kos pentadbiran PTPTN mengelirukan

BERITA HARIAN 27-12-2007


SAYA adalah pemegang ijazah yang menanggung pembelajaran menggunakan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Saya bergraduan pada Julai tahun lalu.

Surat pembayaran balik yang dihantar oleh PTPTN mengelirukan saya terutama bagi kos pentadbiran yang dikenakan. Surat bayaran balik PTPTN yang bertarikh 15 Januari lalu menyatakan bahawa jumlah pinjaman saya sebanyak RM19,500, kos pentadbiran RM3,821.38 dan jumlah yang perlu dibayar balik adalah RM23,321.38.

Dalam surat berkenaan disertakan jadual pembayaran selama 120 bulan iaitu bermula dari Disember 2006 hingga November 2016. Jumlah ansuran bulanan yang perlu dibayar bermula dari RM70.40 hinggalah kepada RM259.69.


Bagaimanapun, baru-baru ini dalam surat bertarikh 29 November, PTPTN menyatakan kos pentadbiran yang dikenakan adalah sebanyak RM48.75 sebulan yang dikenakan setiap bulan mulai Disember 2006.

Ini bermakna setiap bulan jumlah ini akan bertambah daripada RM19,500 kepada RM19,548.75 pada Disember 2006, RM19,597.50 pada Januari 2007. Apabila dilihat semula, kos pentadbiran yang dikenakan semakin bertambah iaitu daripada RM3,821.38 bagi tempoh 120 bulan kepada RM5,850.

Bagi saya jumlah ini amat membebankan kerana selepas bergraduan, saya hanya bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan RM600 sebulan. Jadi saya hanya mampu membayar sebanyak RM100 sebulan.

Apabila ditolak dengan kos pentadbiran yang dikenakan, seolah-olah saya hanya membayar RM51.25. Jumlah kos pentadbiran adalah seperti sama banyak dengan bayaran bagi melunaskan hutang saya.



LATIFAH ABDULLAH,

Permatang Rawa, Bukit Mertajam.

No comments: