Thursday, December 27, 2007

ISU PTPTN DI JAWAB OLEH PENEGERUSI PTPTN :Datuk Razali Ismail

Riba: PTPTN rujuk jawatankuasa fatwa

UTUSAN MALAYSIA 26-12-2007

Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD

KUALA TERENGGANU 25 Dis. – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi memastikan caj perkhidmatan tiga peratus yang dikenakan terhadap peminjam tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Pengerusinya, Datuk Razali Ismail berkata, langkah itu diambil bagi membersihkan segala dakwaan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak terhadap caj yang dikenakan itu.

Katanya, sekiranya perkara itu sering ditimbulkan dan pula tidak bendung dengan segera supaya tidak terus berpanjangan, ia boleh mengelirukan masyarakat.

‘‘Walaupun kami tahu caj itu caj perkhidmatan, tidak bertentangan dengan syarak, namun nama baik PTPTN mesti dipertahankan. Caj itu bukan riba tetapi adalah caj yang dikenakan selepas perkhidmatan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis pelancaran dan tandatangan buku Growing Up in Trengganu karya Wan A. Hulaimi Mohd. Ali di Kedai Buku Alam Akademik, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas pendapat pembaca Utusan Malaysia hari ini yang menyarankan caj tiga peratus yang dikenakan kepada pelajar ditukar kepada sistem yang lebih mematuhi hukum syarak.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd. Firdaus Mohamed Khairi dalam suratnya mendakwa, selain pelajar dipaksa berhutang, mereka juga terpaksa mengikuti sistem pinjaman riba yang jelas bertentangan dengan hukum syarak.

PTPTN, kata Mohd. Firdaus, juga diharap lebih serius untuk menukar sistem berasaskan riba kepada yang berlandaskan syariat.

Mengenai sistem pembayaran pinjaman kepada pelajar yang bekerja semasa mengikuti pengajian peringkat ijazah lanjutan dan doktor falsafah (PhD), Razali berkata, ia masih dalam kajian dan belum ada keputusan dibuat.

Mengenai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), beliau berkata, tujuan kerajaan memperkenalkan skim tersebut bukan untuk menyusah tetapi memastikan keadilan kepada semua pihak.

Katanya, ia bertujuan mendidik masyarakat dan pelajar dengan budaya menabung sejak kecil.

No comments: