Tuesday, August 14, 2007

Pusara Di Lebuh Raya

Nahas terburuk 20 maut



KENAL PASTI: Anggota polis memeriksa sebahagian daripada
20 mayat mangsa nahas yang terbabit dalam kejadian
bas ekspres terbabas di KM229.1 Lebuhraya Utara Selatan
dekat Bukit Gantang, semalam.

Polis sahkan pemandu bas ekspres ada 15 saman trafik, dua waran tangkap

TAIPING: Dua puluh orang termasuk tiga pasangan suami isteri maut manakala sembilan lagi cedera apabila sebuah bas ekspres terbabas dan terhumban ke dalam parit di Kilometer 229.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Bukit Gantang di sini, semalam.

Nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara itu sekali gus menimbulkan semula persoalan berhubung isu pemandu yang mempunyai kesalahan trafik berulang, tetapi masih ‘bebas’ memandu kenderaan awam.

Siasatan awal polis mendapati pemandu bas berkenaan, Rohizan Abu Bakar, 38, yang turut terbunuh dalam nahas kira-kira jam 4.40 pagi itu, mempunyai 15 kesalahan trafik termasuk dua waran tangkap.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak, berkata bas milik Syarikat Kenderaan Bukit Gantang Sdn Bhd yang didaftarkan pada 1987 itu pula mempunyai 19 saman sejak 1991.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan mengapa tindakan masih tidak diambil terhadap pemandu dan syarikat terbabit.


BERITA PILU: Razali dan isterinya, Roshaida Radzi
tidak dapat menahan sebak ketika memberitahu abangnya
mengenai kematian ibu bapa mereka.

Ini bukan kali pertama pemandu bas yang mempunyai rekod kesalahan trafik, terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa ramai penumpang.

Dalam nahas membabitkan bas ekspres Mutiara dan sebuah bas sekolah di Jalan Kuala Lipis-Merapoh, Pahang yang mengorbankan 15 penumpang pada 30 November 2003 lalu, pemandu bas ekspres itu juga dikatakan memiliki lima kesalahan lalu lintas termasuk memandu melebihi had laju. Ujian air kencing pemandu bas sekolah itu pula, disahkan mengandungi dadah.

Mengulas nahas semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, berkata kementerian akan menubuhkan pasukan penyiasat yang dianggotai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

“Kita akan menyiasat sama ada kemalangan itu disebabkan struktur jalan atau keadaan bas

serta kemungkinan pemandu terbabit mengantuk, keletihan atau memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Dalam kemalangan ngeri itu, 19 orang termasuk dua rakyat Indonesia mati di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di Hospital Taiping (HT). Lapan penumpang pula cedera parah termasuk pembantu pemandu bas berkenaan dan dua rakyat Vietnam manakala seorang rakyat Nepal dirawat sebagai pesakit luar.

Beberapa saksi memberitahu bas Super Express itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Alor Star bersama 29 penumpang itu, melilau ke kiri dan kanan beberapa kali sebelum terbabas apabila tayarnya termasuk dalam longkang kecil di tepi lebuh raya berkenaan.


KERJA KERAS: Anggota Bomba dan Penyelamat membawa
keluar mangsa kemalangan dari bawah bas
ekspres yang remuk.

Bas itu dikatakan melanggar penghadang jalan dan terhumban ke dalam parit sebelum merempuh bongkah batu di Kilometer 229.1 lebuh raya berkenaan.

Rempuhan itu menyebabkan bumbung bas terbabit tercabut dan semua penumpang tercampak ke hadapan selepas terjunam dan terbalik ke dalam parit sedalam lima meter.

Semua mangsa dikatakan bertindih termasuk seorang wanita ditemui dalam keadaan terkulai dengan anaknya berusia tiga tahun masih dalam pangkuannya. Suami wanita itu dikatakan turut terbunuh.

Anak pasangan itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HT dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Seramai 41 anggota dari tiga Balai Bomba berhampiran termasuk Kuala Kangsar dan Sungai Siput dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan orang ramai sekitar jam 4.45 pagi.

INFO
Mangsa terkorban


  • T Krishnan, 46, (Kuala Ketil, Kedah)
  • Padliz Ahmad, 22, (Jasin, Melaka)
  • Josli Arshad, 39, (Jambatan Duyong, Melaka)
  • Rohizan Abu Bakar, 36, (pemandu bas - Kulim, Kedah)
  • Nazri Noordin, 35, (Ayer Itam, Pulau Pinang)
  • Pang Tee Min, 58, (Melaka)
  • Mohd Yazid Md Yusoh, 22, (Jasin, Melaka)
  • Zuliyani Buang, 25, (Tanjung Keling, Melaka)
  • Md Basri, (Merlimau, Melaka)
  • Shahril Afendi, 22, (Alor Star, Kedah)
  • Sundaram Priyasamy, 31, (Tanah Merah, Jitra, Kedah)
  • Siti Sophia Ismail, 23, (Alor Star, Kedah)
  • Norsharumiza Khairy, 27, (Kulim, Kedah)
  • Teoh Kee Song, 34, (Padang Temusu, Kedah)
  • Cheng Chun Joo, 37, (isteri Teoh)
  • Kamis Said, 62, (Masjid Tanah, Melaka)
  • Zaitun Bachik, 58, (isteri Kamis)
  • Abu Bakar S Ali, 27, (Medan, Indonesia)
  • Sri Asiah, 32, (isteri Abu Bakar)
  • No comments: