Wednesday, September 28, 2011

TAN SRI AINUDDIN WAHID BAPA UTM DAN PENDIDIKAN TINGGI NEGARA.




Tan Sri Ainuddin Wahid adalah satu nama besar dalam bidang pendidikan Negara. Meskipun ada ramai yang tidak mengenalinya.Namun beliau adalah satu sosok yang sebenarnya mampu memberikan inspirasi kepada kita untuk terus berbuat jasa kepada agama,bangsa dan Negara. Membaca biografi kisah hidup tokoh bukanlah ertinya kita mahu menjunjung tinggi apatah lagi memuja tokoh-tokoh tertentu. Sudah tentu kita wajar memabcanya dengan beberapa niat yang benar. Adalah disarankan apabila kita membaca biografi tokoh agar memasang niat.

  •   Mengambil iktibar tentang kisah hidupnya.
  •  Bertanya kepada diri sendiri apakah kita sebenarnya sudah berjuang dalam hidup kita.
  •  Bertanya juga kepada diri sendiri apakah kita telah memperjuangkan sesuatu yang bermakna dalam hidup kita atau sia-sia.
Inilah tiga persoalan yang begitu bergolak kencang dalam dada saya apabila membaca biografi tokoh ilmu dan pencerah bangsa yang sangat memberikan inspirasi kepada saya. Saya kira ini adalah antara beberapa buku yang mampu memberi perubahan perspektif yang besar didalam hidup saya. Saya masih teringat . Ketika dalam satu latihan kepimpinan semasa PKPIM. Satu soalan yang telah mengubah perspektif hidup saya ialah. Apakah Buku Yang Telah Mengubah Hidup Anda?. Soalan yang saya kira sangat berat dan memerlukan saya menjawab soalan itu dalam beberapa tahun kehapan lagi. Saya kira ini adalah antara beberapa buku yang telah mengubah perspektif hidup saya. Oleh yang demikian saya kira adalah sangat wajar para mahasiswa, pendidik, pensyarah dan Naib-naib Canselor di Malaysia membaca biografi terbaru karya Fatini Yaakob ini iaitu “Ainuddin Pejuang Degil Melayu”. Baca sehingga habis !.

Semasa saya baru melangkah masuk ke Universiti Teknologi Malaysia. Saya pernah mendengar nama beliau disebut. Malangnya bukanlah daripada staff UTM sendiri melainkan daripada para pencinta ilmu yang lain. Kami Mahasiswa baru UTM ketika itu hanya dihidangkan dengan beberapa pencapaian hebat UTM di peringkat tempatan dan antarabangsa. Namun begitu saya terfikir bahawa itu semua adalah pencapaian UTM(Staff akedemik). Bagaimana dengan pencapaian daripada mahasiswa itu sendiri.Sepatutnya yang memberi inspirasi adalah datang daripada para pelajarnya sendiri. Selesai Minggu Haluan Siswa . Saya kira saya masih mencari haluan saya.





Apabila saya mengenali PKPIM. Saya mula mengenali sosok tokoh ini dengan lebih dekat walaupun tidak mendasar dan terperinci lagi. Kini sesudah melepasi waktu pasca Mahasiswa. Barulah terbit biografi ini yang menyebabkan saya berasa alangkah baiknya kisah Tan Sri Ainuddin ini difahamkan betul-betul kepada mahasiswa. Sesungguhnya para mahasiswa perlu difahamkan dengan sebenar-benarnya kenapa mereka berada di Universiti. Selepas membaca biografi ini saya berasa begitu beratnya dan agungnya impian Tan Sri Ainudin Wahid untuk melahirkan teknokrat  muslim untuk pembangunan negara. Saya merasakan andai kisah dan falsafah terbinanya UTM ditekankan . Pasti  akan jelas dan berbangga menjadi anak kandung UTM tempat bernaung.

Universiti Pertama memperkenalkan Pendidikan Islam sebagai subjek pembelajaran.

Sebelum ini saya pernah mendengar bahawa suatu masa dahulu UTM juga dikenali sebagai “Universiti Tarbiyah Malaysia”. Selepas saya membaca biografi ini saya lebih mengerti apa maksud pernyataan itu. Di dalam buku ini Fatini Yaacob mencatatkan bahawa Tan Sri Ainudin adalah Naib Canselor pertama yang memperkenalkan Pendidikan Islam di peringkat pengajian tinggi . Menurut Fatini Yaacob , Tan Sri Ainuddin telah membuat kejutan baru ketika itu dengan mengusulkan mata pelajaran Pendidikan Islam untuk pelajar Melayu di Institut Teknik Kuala Lumpur (ITK).  Di dalam wawancara penulis (Fatini Yaacob) dengan Tan Sri Ainuddin. Tan Sri mejelaskan fahaman dan falsafahnya tersendiri terhadap Pendidikan Islam kepada pelajar bangsa Melayu.

“Kita di negara Melayu, apa tugas pendidikan kalau tak masuk agama? Masa sekolah, hal-hal fardhu ain lepaslah, hal-hal lain perlu disambung di Universiti. Saya masa itu sangat hairan kenapa Reaktor yang lain semua tidak minat agama”

 Cadangan Tan Sri Ainuddin ini kelihatan sangat pelik dan menongkah arus ketika itu. Ketika itu Malaysia yang baru sahaja bertukar nama daripada Tanah Melayu masih kuat dengan tanggapan bahawa "moden adalah barat dan barat adalah moden". Cara hidup barat sangat kuat termasuklah budaya minum minuman keras dan budaya cheers.

Sangat pelik dan aneh dan rendahnya budaya salah satu Universiti sekarang yang masih meneruskan tradisi cheers di mingu haluan siswanya. Agaknya masalah tidak yakin kepada diri sendiri dan menyembah bangsa penjajah masih menebal. Ketika zaman itu Islam dianggap pelik, jumud, ketinggalan zaman, mundur dan pelbagai lagi tanggapan negatif yang disumbat oleh penjajah ke dalam fikiran umat Melayu.  Semasa dibentangkan kertas cadangan Pendidikan Islam diperingkat staff  akedemik ada di antara yang menyokongnya, ada yang diam, ada yang secara subtle, memberikan pandangan bahawa   ITK kelak akan digelar universiti  kolot, yang lebai dan yang ketinggalan zaman. Malah ada yang meninggikan suara dan menghentak-hentak meja. Namun begitu Tan Sri Ainuddin yakin dengan pendiriannya dan melalui cabaran itu dengan sabar dan tenang.

Malah para NC/Reaktor IPTA ketika itu juga sangat skeptikal dengan Islam. Menurut Tan Sri Ainuddin Wahid  lagi.

“Pada mesyuarat NC/Reaktor zaman itu, ada mesyuarat yang dibuat pada hari Jumaat, mesyuarat tidak berhenti pada pukul 12 untuk solat Jumaat. Akhirnya saya tanya pengerusi-sapa nak keluar,keluarlah jawabnya..jadi saya dan (Tan Sri) Ahmad Ibrahim sahaja yang keluar.

Meskipun diasak sedemikain rupa beliau tetap tenang, lembut dan tegas mempertahankan idealismenya. Namun demikian usaha ini telah ditakdirkan Berjaya oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT adalah terlebih baik perancangan-Nya. Akhirnya usaha Tan Sri Ainuddin Wahid ini berhasil apabila mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral diperkenalkan pada tahun 1972.  Usaha Tan Sri bukanlah mudah apabila beliau menghadapi cabaran daripada mereka yang masih berpandangan barat.

Beliau sedar bahawa manusia hanya dapat dibentuk apabila diberi pehamanan Islam yang sebenar. Barulah insan ini ketika kecil "makan dengan tangan kanan tidak akan makan suap pula apabila dewasa kelak". Susungguhnya nilai integriti adalah sangat penting.




Tan Sri Ainuddin –Bapa Mahasiswa UTM

Saya juga sangat tertarik dengan bab 9. Bab ini menerangkan bagaimana sifatnya yang begitu mengasihi pelajarnya. Boleh dianggap beliau telah memainkan peranan sebagai “Bapa” kepada para pelajarnya dengan sangat baik. Beliau adalah NC yang terlebih dahulu memberi salam atau pun senyum dan mungkin dengan sapaan kepada para pelajar.

“Bila berselisih jalan dengan kami,dia akan beri salam dahulu dan senyum. Dia tinggal dalam kampus,  jadi dia kenal kami semua dengan senang.” Puan Ar.Kalsom Mohamad.
            
Kasih sebagai bapa adalah bermaksud beliau bersikap seperti bapa yang tidak mahu anak-anaknya rosak akhlak dan masa depannya. Bapa kita akan mengasihi kita dengan erti kata sebenar apabila merotan kita apabila tidak mengerjakan solat subuh ketika berumur 7 tahun. Bapa kita tidak kasih kepada kita sebenarnya apabila tidak menggerakkan kita untuk mengerjakan subuh kerana kasihan nampak kita yang sedang nyenyak tidur. Ini kerana bapa kita akan membiarkan kita terhumban ke azab neraka di akhirat kelak. Begitulah sifat bapa.

Meskipun begitu usaha beliau untuk memperbaiki akhlak mahasiswa bukanlah secara paksaan dan membebankan. Antaranya beliau memperkenalkan Latihan Kader Dakwah(LDK) dan subjek pelajaran Islam. Bagi beliau hanya kefahaman mengenai Islam yang sebenar akan membentuk insan. Bukan paksaan.Beliau percaya hanya nilai-nilai agama dan kesan kasih yang ikhlas sahaja yang boleh melenturkan akhlak dan boleh menjadi ingatan kuat pelajar ketika mereka keluar universiti kelak.

“Seingat saya, ada program nyanyian tetapi pelajar perempuan hanya dibenarkan menyanyi dibelakang tabir. Jadi penonton hanya dengar suara sahaja”- Ahmad Lutfi Othman.    

Semasa beliau menjadi NC UTM. Beliau benar-benar berjaya merapatkan jurangnya dengan pelajar dengan pendekatan bersahaja dan sarat dengan cirri-ciri bapa. Malahan beliau memanggil para pelajarnya dengan panggilan “anak-anak”.

Adalah sangat wajar pemimpin-peminpin di Universiti bermula daripada NC/Reaktor sehingga ke staff akedemik mengambil iktibar dan mencontohi beliau apabila mendidiki anak bangsa. Profesion mendidik bukanlah semata-mata mahu cari makan melainkan tanggungjawab memandaikan umat juga terpikul berat di bahu mereka.

Berperanan mematangkan Mahasiswa.

Seorang pemimpin yang hebat akan melahirkan lebih ramai pemimpin yang hebat. Adalah tidak dinafikan bahawa mahasiswa adalah asset penting negara. Namun demikian mahasiswa adalah golongan yang sangat berkobar semangatnya, seandainya tidak ditantang, api itu kelak akan membakar dirinya. Memandangkan mahasiswa adalah aset penting negara. Tan Sri Ainudin telah mengambil pendekatan mendekati mereka, meraka perlu diasuh, dipimpin menjadi matang kerana suatu hari nanti golongan inilah yang akan menjadi pemimpin masyarakat. Melalui pendekatan kasih sayang dan pehaman ilmu yang sebenar kepada mahasiswa.

Para pelajar UTM tidak ramai terlibat dengan demontrasi 1974. Meskipun pernyataan ini mungkin tidak digemari mahasiswa. Tan Sri Ainudin telah membuktikan bahawa dengan pendekatan gerakkan memandaikan umat Islam adalah gerakan yang mampu memberi perubahan yang lebih mendasar dan kukuh. Hasil pencerahan ilmu ini membawa perubahan besar telah berlaku pada Malaysia. UTM sehingga kini telah menghasilkan begitu ramai ilmuan dan teknokrat yang memajukan Malaysia. Meskipun kemerdekaan fikiran umat Islam Melayu terutamanya masih belum merdeka sepenuhnya daripada fikiran barat.

Bagi beliau ada jalan yang lebih baik dan "beradab" daripada demontrasi. Semasa beliau bertemu pelajar yang ditangkap kerana berdemo. Beliau memesan dan menunjuk ajar mereka jalan yang lebih beradab untuk menyelesaikan isu. Beliau berpesan

 “ ...buat apa ikut cara Barat..provide solution, not create a problems”.

 Namun bukanlah ertinya semua demontrasi beliau menolak. Sebagai contoh demontrasi membantah bantahan oleh pelajar bukan Melayu mengenai pakai songkok ketika konvo. Beliau hanya membisu seolah-olah membenarkan demontrasi itu. Inilah yang dimaksudkan beliau membantu mematangkan mahasiswa. Buat perkara yang betul dengan isu. Mana yang terdahulu dan mengikut neraca keadilan. 

Beliau juga adalah NC yang sangat kerap berjumpa mahasiswa. Ketika isu AUKU 1975 yang meyebabkan mahasiswa merosot dari segi aktiviti dan kepimpinan. Para pelajar ketika itu seolah-olah memboikot semua persatuan pelajar.  Beliau sangat sedih kerana pilihanraya di kampus juga menjadi  sepi. Akhirnya beliau telah menukarkan nama Persatuan Mahasiswa UTM kepada Majlis Perwakilan Pelajar UTM. 
Stretegi ini berjaya kerana Mahasiswa dimatangkan kembali apabila mereka dijanjikan bahawa suara mereka juga akan didengari kerana mereka yang dilantik kelak adalah benar-benar mewakili pelajar. Semangat inilah yang perlu difahami oleh mereka yang memenangi pilihanraya kampus hari ini. Inilah universiti pertama yang mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar yang kemudiannya diikuti IPT yang lain.

Tan Sri Ainuddin Wahid yang saya kenali

Saya hanya pernah sekali bertemu beliau ketika Kongres Melayu yang diadakan sekitar tahun 2007 di dewan besar UTM city campus. Saya melihatnya begitu gigih meskipun ketika itu saya nampak beliau begitu uzur dengan berkerusi roda. Sebagai anak muda saya berasa begitu naïf dan rendah diri dengan watak besar negara ini. Beliau berjuang bukan kerana nama.Bahkan beliau sering memadam gelaran "Tan Sri" dalam surat-suratnya dengan kerajaan .  Perkara ini juga dibuktikan bahawa beliau tidak pernah menikmati keistemewaan sebagai NC UTM yang sangat berjasa.

Menurut Fatini Yaacob. Sepanjang perjuangannya memandaikan bangsa Melayu Islam. Beliau tidak mengambil tahu tentang kebajikannya sendiri sewaktu persaraannya. Beliau pada asalnya adalah Jurutera Kanan JKR telah “dipinjamkan” ke Maktab Teknik Kuala Lumpur atas kepentingan negara. Maksud dipinjamkan ialah majikan beliau sebenar adalah masih JKR bukan UTM. Setelah lebih 17 tahun mengasaskan dan meletakkan dasar yang kukuh terhadap UTM, segala khidmatnya sepanjang menjadi NC di UTM tidak pernah diambil kira.

Oleh yang demikian segala gaji dan elaun sebagai NC tidak pernah diambil kira sepanjang perkhidmatannya. Beliau telah bersara pada tangga gaji supercale  G di JKR, bukanlah atas gaji NC yang jauh lebih tinggi. Keadaan ini kekal sehinggalah buku biografi ini ditulis. Sungguh menyedihkan apabila jasanya tidak dikenang dan diperjuangkan.

 Jasanya sangat tidak terhitung sehingga saya juga berasa berhutang budi dengannya. Kerana kedegilan beliaulah skala bumiputera daripada 10:90 telah berubah menjadi 90:10 dalam masa lima tahun. Usaha telah dilaksanakan oleh pemimpin kita. Namun saya percaya bangsa kita masih ramai yang tidak berubah sikap. Anak bangsa kita kemarau inspirasi. Dilonggokkan dengan hiburan dan kesenangan palsu yang sementara sehingga dihinggap penyakit malas berusaha. 

Semasa saya bekerja di Unit Pengamabilan Pelajar di Jabatan Pengajiaan Tinggi. Saya masih lihat betapa anak bangsa kita seolah-olah masih dibuai kesenangan. Rayuan untuk masuk ke IPTA dibuat sambil lewa. Bahkan ada yang ibu bapanya sahaja yang beriya-iya membuat rayuan berbanding kaum lain. Ada juga yang apabila saya telefon mereka mengenai rayuan mereka dengan malasnya mereka menjawab "Tidak ingat akan keputusan SPM nya".Berbanding kaum lain yang tahu peluang dan untuk maju hanyalah pendidikan. Mereka kebanyakkan datang dengan kemas. Isi fail yang berisi segala dokumen rayuan kemas tersusun. Malah ada pengalaman saya dan rakan-rakan UPU. Ada pelajar bangsa lain yang sanggup menunggu berhari-hari dan menangis semahunya untuk rayuan tempat ke IPTA. Saya kuat berpendapat anak bangsa kita kemarau inspirasi dan tidak tahu dengan kukuh kenapa perlu ada dipengajian tinggi.

 Siapapun yang telah memerdekakan negara. Kini adalah tanggungjawab kita untuk mengisi makna kemerdekaan.Tan Sri Ainudin adalah contoh bagi antara insan yang sedar siapa pejuang kemerdekaan sebenar. Namun beliau ambil pendekatan "Mengisi Kemeredekaan".  Perjuangan masih belum selesai. Masih ramai kita yang berfikiran barat tanpa sedar. Berkiblatkan barat dan mengangap maju itu barat dan barat itu maju. Kita sendiri terlupa bahawa bangsa kita menjadi mulia kerana Islam dan menjadi empayar yang kuat selepas itu. Bangsa Melayu menjadi bangsa yang sangat penting ketika itu sehingga Duarte Barbosa ialah seorang penulis dan pedagang yang hidup di antara kurun ke-15 dan ke-16 masihi menyebut

“Sesiapa menguasai Melaka , akan menguasai perdagangan dunia”.

Tidak mungkin Melayu adalah bangsa primitif  ketika itu kerana mampu mentadbir empayar yang kuat dan menguasai perdagangan utama dunia. Bahkan Bahasa Melayu pernah menajdi bahasa Lingua Franca. Iaitu bahasa utama perdagangan dan ilmu.Tidak lain tidak bukan Islam telah datang dan membuahkan hasil Tamadun Melayu yang tinggi ilmu dan cekap pemerintahanya. Ini lah yang telah disedari oleh para cerdik pandai kita. Bangsa kita perlu menjadi bangsa yang yakin diri. Bukan bangsa yang menyombong diri. Islam telah datang dan mendidik bangsa Melayu menjadi bangsa yang mampu  menyebar rahmat untuk seluruh alam. Kerana bangsa Melayu telah mengaku bahawa Nabi Muhamad SAW adalah nabinya yang diutus Allah SWT sebagai penyebar rahmat keseluruh alam.

Resensi buku dan sumber rujukan utama adalah "Ainuddin Pejuang Degil Melayu" oleh Datin Fatini Yaacob
Gambar adalah sumber Internet

No comments: