Sunday, August 14, 2011

KRISTIANKAH ANCAMAN KITA?

KRISTIANKAH ANCAMAN KITA?


Mohd Firdaus Bin Mohamed Khairi.

Umat Islam Malaysia baru-baru ini di kejutkan dengan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) kerana di syaki terdapat unsur penyebaran agama lain terhadapat umat Islam. Pelbagai reaksi tercetus di kalangan masyarakat. Yang paling mengharukan ialah terdapatnya sesetengah pihak mengambil kesempatan ‘menangguk di air yang keruh’. Hangat seluruh Negara bahawa usaha memurtadkan umat Islam semakin tersebar. Semakin membarahkan lagi ialah tersebarnya al-Kitab iaitu Bible versi bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah sebagai ganti nama kepada God bagi Kristian. Reaksi beberapa ahli politik juga amatlah menjengkelkan seolah-olah betapa kurangnya pengetahuan mereka tentang isu ini.

Namun begitu benarkah Kristian adalah ancaman sebenar kepada Umat Islam? Jika benar , mengapa ada antara kita yang mudah terpengaruh dengan dakyah mereka. Jika benar , adakah kita benar-benar kenal akan musuh kita. Bagaimana kita mahu berdepan dengan sesuatu yang dianggap musush sekiranya kita tidak kenalnya dengan terperinci. Persoalan ini mungkin akan menambahkan lagi kekusutan atau pun persoalan ini akan memberi kita jalan pencerahan. Memahami makna sebenar tentang apa sebenarnya yang berlaku.

Benarkah berlakunya pertembungan Kristian-Islam?

Sejarah Islam dan Kristian berlaku merentas sejarah yang amat panjang. Malah bibit-bibit pertentangan di antara keduanya berlaku sejak sebelum lahir utusan akhir zaman iaitu Rasullah SAW yang membawa kebenaran mutlak dan membatalkan syariat sebelum ini iaitu Islam. Pertembungan klasik ini amatlah unik kerana ia berlaku sebelum lahirnya sesuatu yang di anggap musuhnya. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sudah lama mengingatkan umat Islam tentang dilema yang akan di hadapi umat Islam. Kini risalah-risalah beliau menjadi amat releven untuk ditelaah kembali oleh umat Islam. Apa yang diketengahkan beliau di dalam buku-bukunya dan bahan ilmiahnya menjadi sangat releven masa kini. Beliau banyak mencatatkan bukti dan hujah ilmiah yang banyak didalam karya-karya beliau mengenai sejarah pertembungan Kristian-Islam. Beliau sebenarnya telah membongkarkan bahawa musuh utama Islam bukanlah Kristian kerana kerana agama asal yang di bawa oleh Nabi Isa AS telah lama dirubah mengikut nafsu Tamadun Barat.

Beliau menulis didalam bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin. Beliau mengingatkan kepada Kaum Muslimin bahawa kita akan sentiasa berkonfrantasi atau bertentangan muka dengan kebudayaan barat. Beliau benar-benar mahu kaum Muslimin kenal dengan sebenar-benarnya musuh kaum Muslimin bahawa musuh kita yang sebenarnya adalah Kebudayaan Barat. Setelah satu-satu agama yang di tanzilkan Allah SWT di selewengkan. Sasaran yang yang tinggal kini ialah Islam. Usaha Kristianisasi adalah salah satu usaha yang dibelakangnya sebenarnya mempunyai agenda yang lebih besar. Perkara ini mungkin tidak difahami dengan baik jika kita malas mengkaji dan membelakangkan kepentingan sejarah.

Peranan Nabi Isa AS.

Syed Naquib Al-Attas sekali lagi mengingatkan kita bahawa Kaum Muslimin perlu Insaf dan mengetahui bahawa Kristian yang selama ini kita anggap sebgai agama wahyu yang diturunkan bahawa sebenarnya ia bukanlah agama yang semata-mata berdasarkan wahyu. Bahkan tujuan asal Nabi Isa AS adalah untukmemperbetulkan penyelewengan yang berlaku di dalam agama Yahudi sebelum itu. Menurut beliau lagi. selain itu juga Nabi Isa AS ditugaskan untuk memberi tahu kepada kaumnya bahawa di akhir zaman nanti akan lahir suatu ‘Kebenaran Mutlak’ iaitu Islam dan kedatangan nabi terakhir iaitu Nabi Muhamad SAW. Namun begitu oleh kerana dorongan hawa nafsu. Mereka terdorong menjadi taksub sehingga memperdewakan Nabi Isa AS sedangkan mereka sudah diberitahu tentang perkhabaran yang baik iaitu kedatangan Nabi Muhamad SAW. Tugas Nabi Isa AS antara lainnya ialah untuk menyediakan mereka kaum Bani Israel untuk syariat Nabi Muhamad SAW. Namun begitu oleh kerana ketamakkan dan kerasukkan , mereka sanggup mengubah dasar asal ajaran Nabi Isa AS menjadi agama yang seakan-akan agama yang akan di bawa oleh utusan akhir zaman nanti.Lalu lahirlah apa yang digelarkanmereka sebagai ‘Kristian’. Tujuan mereka sebenarnya adalah untuk menyangkal kedatangan agama Islam itu nanti. Kelicikan mereka untuk menggagalkan Islam terserlah melalui kaedah mendahului kezahiran Islam dan meniru sifatnya serta memasukkan ke dalam ajaran Kristian yang kemudiannya didakawa bahawa ajaran itu dibawa oleh Nabi Isa AS.

Hakikat betapa kenalnya ahli kitab kepada Rasullah SAW telah dijelaskan di dalam Al-Quran.

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.” ( Al-Baqarah,146)

Setelah diketahui sifat Islam dan menzahirkan sifat Islam dengan mendahului Islam. Syed Naquib Al-Attas sekali menjelaskan tujuan mereka mendahului Islam tidak lain ialah Guru Agung Insan (Nabi Muhamad SAW) yang dikhabarkan oleh NAbi Isa AS di dalam Injil ialah untuk menafikan kedatangan Nabi Muhamad SAW nanti. Malahan mereka mengangagp Guru agung Insan itu ialah Nabi Isa AS sendiri yang akan turun pada akhir zaman nanti. Dengan cara ini mereka menafikan kedatangan Islam dan menanggap ‘ tiada perlu lagi’. Inilah pendustaan yang sangat besar bagi umat manusia.

Perancangan licik mereka meniru sifat dan mendahului zahir Islam telah menyebabkan sifat dakwah yang ada pada Islam menyebabkan Kristian juga mempunyai sifat begitu. Syed Naquib Al-Attas sekali lagi menjelaskan kepada kita bahawa sebelum Islam, sifat agama dunia adalah tidakmempunyai ciri dakwah. Agama Yahudi adalah untuk kaumnya sendiri, Agama Farsi kuno juga hanya untuk kaum Farsi. Agama Budha dan Hindu tidak pernah keluar daripada benua Asia ketika itu. Oleh kerana mereka iaitu penganut ajaran Kristian melihat bahawa ciri dakwah ini dapat memenuhi serakah nafsu mereka untuk menguasai politik dunia. Maka mereka menggunakan alasan agama untuk berkembang kepelusuk dunia. Sedangkan sifat dakwah ini didalam Islam adalah untuk menyebarkan rahmat ke seluruh alam. Bukan penguasaan dan penindasan.

Allah berfirman: “Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (Al-Anbiya: 107)

Kristian masuki eropah.

Kristian terus berkembang. Kristian memasuki eropah sejak awal masehi lagi iaitu ketika era Greco-Roman. Oleh kerana gagalnya Kristian dalam isu akidah yang penuh kesangsian dan penuh dogma. Akhirnya Kristian telah dicampur adukkan dengan budaya dan kepercayaan kuno Yunani ,Rom, Mesir dan kaum gasar. Perkara ini terjadi kerana kaum eropah itu telah mewarisi budaya yang dipupuk daripada bangsa-bangsa Yunani Kuno dan campuran Kebudayaan Rom. Sekali lagi Kristian telah berubah daripada asalnya. Kini Kristian telah dipengaruhi budaya barat yang begitu dominan. Akhirnya tamadun Barat sekali lagi telah mengubah Kristian daripada yang tafsiran aslinya. Malah Kristian adalah satu-satunya agama yang telah berubah pusat asal kelahiran agamanya. Di dalam buku Risalah Untuk Kaum Muslimin ini lagi, Syed Naquib Al-Attas telah menggariskan beberapa sifat asasi tamadun barat.

1. Asas kebudayaan barat adalah hasil warisan yang dipupuk daripada Kebudayaan Yunani Kuno dan tercampur dengan Kebudayaan Rom serta unsur-unsur lain lain hasil daripada cita rasa dan gerak daya bangsa eropah sendiri seperti suku bangsa Jerman, Inggeris dan Perancis.

2. Kebudayaan Yunani Kuno meletakkan dasar-dasar falsafah dan kenegaraan serta pendidikan juga kesenian. Kebudayaan Rumawi Kuno pula telah merumuskan dasar-dasar dan hukum ketatanegaraan.

3. Kebudayaan Barat bukanlah berasaskan agama tetapi adalah berasaskan dasar falsafah.

Menurut beliau lagi .

“ Meskipun ajaran Kristian mencuba berdaya usaha menitik beratkan masalah keyakinan kepada tuhan , akhirat dan akidah asasi, namun cinta melulu mereka kepada kekuasaan dunia memaksa ajaran itu mengendahkan dan melayani bisik-bujukan hasrat duniawi jua dan ke dalam sejara perkembangannya di eropah. Sejak zaman Konstantin terus hingga ke zaman sesudah terbitnya Islam,ketua-ketua Gereja Kristian senantiasa berusaha untuk untuk merebut kekuasaan duniawi sambil meniru-niru cara hidup serta adat-istiadat keagungan raja-raja dan system feudalnya “

Hakikat menujukkan bahawa Kristian terlarut dalam kebudayaan barat apabila ajaran yang berasal daripada Asia Barat ini memasuki Eropah. Ini adalah kerana asasnya tidak kukuh , ditukar ganti, di tiru dan penuh dogma. Kesangsian pada ajaran ini menyebakan jatidirinya begitu rapuh dan mudah terlarut dengan kebudayaan Barat yang akhirnya budaya Baratlah yang telah mempengaruhi dan mengubah sifat dan susuk ajaran ini. Tidak keterlaluan diakatakan bahawa terlalu banyak bida`ah didalam ajaran ini sehingga ia sesat dan hanya menjadi alat untuk mengaut keuntungan duniawi.

Mula Tamadun Barat Menetang Gereja.

Keadaan sangat berbeza dengan Islam apabila masuk ke benua eropah. Dengan disiplin Ilmu yang tinggi. Kefahaman akkidah yang tidak tersanggsi. Akhirnya Islam telah mencerahkah dunia eropah dengan dunia Ilmu dan penemuan sains teknologi. Islam di Andulisia begitu kukuh dan menjadi sumber Ilmu bagi dunia yang akhirnya melahirkan dunia moden seperti hari ini. Islam masuk ke eropah dengan jati diri yang kukuh. Islam tidak terlarut dengan tamadun Barat ketika itu. Malah Islam menjadi kuasa agung dunia berasaskan Ilmu. Ini berbeza dengan ajaran Kristian. Menurut Syed Naquib Al-Attas lagi .

“Oleh kerana ajara-ajaran akidahnya agama Kristian itu sendiri lemah dan kabur serta penuh dengan kesangsian, maka unsur-unsur keyakinan dan akidah mengenai hal-hal ruhaniah agama menjadi semakin lemah merosot. Apatah lagi apabila ilmu pengetahuan sains dan lain-lain unsur akliah yang dibawa masuk oleh Islam mula merangkum merajalelai jiwa dan fikiran Barat. Akhirnya budaya Barat sendiri menggunakan hujah-hujah ilmu pengetahuan bagi menafikan ajaran-ajaran karut Kristian .”

Akhirnya barat melalui pengalaman yang memeritkan dengan ajaran Kristian.Gereja mula menguasai dan mengawal segala aspek kehidupan masyarakat barat. Ketika itulah eropah melalui zaman gelap. Contoh mudah yang diketahui manusia seluruh dunia ialah bagaimana seseorang dihukum bunuh oleh gereja Katolik hanya kerana berjaya membuktikan kebenaran. Galileo Galilei(1564-1642). Orang yang pertama mencipta teleskop dan berjaya membuktikan teori bahawa Bumi mengelilingi Matahari. Gereja telah menghukum mati beliau kerana bukti saintifik ini adalah berbeza dengan pegangan Gereja ketika itu. Penguasa Gereja Katolik pada saat itu tidak suka dengan pandangan kosmologi heliocentric (berpusat pada matahari) yang diperkenalkan Copernicus. Gereja lebih percaya pada pandangan yang diwariskan oleh ahli Falsafah besar Yunani Aristoteles yang melihat bumi sebagai pusat semesta (geocentric).

Cengkaman gereja yang mendokong dogma akhir mencetuskan protes dalam ajaran Kristian. Menjelang abad ke 16 ,gerakan reformasi ajaran Kristian di pelopori oleh Martin Luther dan Huldrych Zwingli. Akhirnya sekularisasi pun terjadi. Dalam sejarah Kristian eropah, kata secular dan liberal dimaknai sebagai pembebasan masyarakat dari cengkeraman kekuasaan Gereja yang sangat kuat dan hegemoni pada zaman pertengahan. Proses berikutnya bukan saja dalam bidang sosial-politik, tetapi juga menyangkut metodologi pemahaman keagamaan. liberal dalam dunia Kristian. Ini semua menunjukkan pengalaman buruk Tamadun Barat dengan Agama.

Ajaran Kristian Kini

Ajaran Kristian masa kini bukanlah lagi hasil darupada wahyu Allah . Ataupun tanzil daripada Allah. Oleh yang demikian tidak wajar juga kita meletakkan kelas ajaran Kristian adalah agama samawi. Yahudi juga begitu. Ajaran mereka semuanya telah diubahsuai mengikut hawa nafsu mereka. Oleh yang demikian musuh sebenar umat Islam bukanlah Kristian itu sendiri. Kerana di belakang tabir Kristianisasi itu adalah tangan-tangan mereka yang mahu manusia meninggalkan agama. Hujah-hujah diatas adalah hujah yang akan dibenarkan oleh penganut Kristian. Sebagai contoh asas konsep Trinity / Tritunggal itu sendiri. Konsep ini hanya disahkan sebagai akidah rasmi selepas tiga abad kelahiran Nabi Isa AS di dalam persidangan Nicea (325CE). Apatah lagi jika mahu membincangkan tentang santa claus dan pokok Krismas. Tidak ada satu pun yang berasal daripada ajaran Kristian.

Islam akan sentiasa menghadapi Kebudayaan Barat.

Syed Naquib Al-Attas mahu kita bersungguh-sungguh faham,tahu dan insaf bahawa cabaran kita masa kini adalah budaya barat . Meskipun Kristian adalah agama yang dianuti barat. Tetapi sebenarnya Kristian itu sendiri sudah tercerna didalamnya unsur-unsur budaya Barat yang kukuh. Simbiosis yang begitu murni ini telah mengkaburkan kita antara ancaman budaya Barat dan Kristinisasi. Mengapa budaya barat adalah ancaman yang lebih besar. Tidak lain tidak bukan ialah kerana kesannya adalah lebih menyeluruh. Bukan sahaja kepada Islam. Tetapi juga Kristian telah menerima nasib yang sangat malang. Ajarannya telah dirubah hampir seratus peratus. Malah akidah asasnya juga begitu rapuh dan tidak boleh dipegang manusia.

“Kaum Muslimin harus insaf bahawa Islam itu senantiasa dalam keadaaan berkonfrantasi atau bertentangan muka dengan kebudayaan barat “ – Syed Naquib Al-Attas.

Pengalaman Barat Dengan Agama Bukan Masalah Kepada Islam.

Barat sentiasa berasa curiga dengan agama. Sehingga ada ahli falsafah mereka telah mengistiharkan “Tuhan Telah Mati”.Pengistiharan Friedrick Nietsche menambah keliruan dan membuktikan kekalutan serta kepincangan sistem akidah budaya Barat. Oleh yang demikian terdengar suara-suara sumbang yang diperkatakan ke dalam dunia Islam. Seandainya muslim mahu maju seperti kami. Perhatikan dan awasi agamamu. Namun malangnya ada juga umat Islam yang terpersona dengan kata-kata itu. Malah yakin dengan dunia pasca moden yang lebih bebas dan liberal. Sedang umat Islam tidak sedar bahawa mereka mula ditenggelami dengan budaya Barat. Bukanlah bebas sebenarnya melainkan terikut dan terperangkap dalam budaya barat yan dimetaforakan sebagai lambang kemajuan. Akhirnya agenda memisahkan agama daripada kehidupan menjadi semakin berjaya. Pengalaman beragama yang dilalui budaya Barat bukanlah sama buruknya dengan pengalaman umat Islam. Sejarah membuktikan dengan Islam menjulang tinggi keunggulan budaya Ilmu yang tidak dinikmati budaya barat satu masa dahulu dibawah cengkaman Gereja. Islam hadir membebaskan manusia dalam erti hamba yang bertuhankan Allah Yang Maha Esa. Islam mengangkat tinggi keupayaan akal manusia didalammembuktikan kebenaran . Malahan Islam menolak dan menjelaskan dogma dan kekaburan. Sebab itulah masalah budaya Barat dahulu adalah tidak relevan dengan Islam. Sebagai contoh ia reformasi beragama. Isu ini tidak relevan. Reformasi beragama akhirnya menatijahkan Islam yang Liberal dan Pluralisma Beragama. Inilah yang dilakukan oleh puak reformis ajaran Kristian dahulu. Ini kerana teks Asli rujukan umat Islam tidak pernah berubah sejah 1400 tahun dahulu. Malah Al-Quran sebagai mukjizat Agung Rasullah SAW dijamin keasliannya oleh Allah SWT sehingga hari kiamat.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” Al-Hijr , 9

Bukti Mukjizat Al-Quran ialah kandungannya yang sentiasa relevan dengan suasana semasa. Oleh yang demikian AL-Quran langsung tidak terjejas dengan usaha sesetengah pihak yang mahu Al-Quran ditafsir semula melalui secara Hermenutika.

Ilmu memperkukuhkan Akidah.

Umat Islam wajar memperkukuhkan kembali ilmu mengenai Islam.Yang apling penting ialah uamat Islam perlu kenal dan faham pandangan hidup Islam. Pada Masa yang sama kita wajar mengenali dengan sebenarnya musuh-musuh dan saingan kita. Apabilakita benar kepada musuh kita. Dengan Izin Allah keimanan kita akan meningkat dan akan melihat bahawa tidak benarnya agama-agama lain. Betapa longgarnya asas-asas agama yang lain. Bukan kesalahan moral untuk kita menidakkan kebenaran agama lain. Jika kita berkelakuan begitu. Kita adalah zalim kerana menidakkan kebenaran bahkan mungkin kita ini terlalu bebal dan jahil yang bersangatan. Kita wajar menghormati anutan agama lain. Namun bukanlah sehingga kita menggadai maruah dan meletakkan muka kita di bawah tapak kaki penganut agama lain. Kita wajar hormat. Hormat bukan bererti kita melonggarkan segala ikatan agama Islam. Jika kita memimpin, usah berkelakuan jelik sehingga menimbulkan kekeliruan umat Islam. Kita harusi insaf bahawa musuh Islam sentiasa mencari jalan bagaimana mahu memisahkan umat Islam daridapa agama Islam. Berjaya memurtadkan Umat Islam adalah satu bonus bagi mereka. Membuatkan umat Islam keliru sehingga menganut fahama Liberal dan Plural sudah mencukupi untuk mereka. Sasaran mereka tidak lain ilah sekurang-kurangnya umat Islam Sekular daripada aspek pemikiran mereka.

Saya Yang Faqir

MOHD FIRDAUS BIN MOHAMED KHAIRI

Putrajaya-Damansara

12/8/2011




Rujukan dan Bibiliografi.

Al-Quran dan Tafsir

Prof Syed Muhamad Naquib Al-Attas , Risalah Untuk Kaum Muslimin

Dr Mohd Farid Bin Mohd Shahran, Isu-Isu dalam Pemikiran Islam(Kuala Lumpur, ABIM ,2008)

Muhamad Hilmi Bin Ramli , Memahami Falsafah Barat dan Menguasai Tradisi Islam.(Kuala Lumpur.Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dan Curiosity Institute (CI)

Richard Elliot Friedman , The Disapperearance of God (USA :little , Brown and Company)

http://islamlib.com/

http://alfredoelectroboy.wordpress.com/2010/04/23/sejarah-santa-claus-2/

http://hotarticle.hadithuna.com/2008/09/01/sejarah-tritunggal/

http://www.dunia-unik.com/2010/04/galileo-galilei-tokoh-dunia-yang.html

http://en.wikipedia.org/wiki/Religion_in_Europe

http://courses.science.fau.edu/~rjordan/bios/Galileo/Galileo_bio.htm

http://en.wikipedia.org/wiki/Jesus

http://ms.wikipedia.org/wiki/Tritunggal

http://www.churchhistory.org/churchhistory.html

http://searchforbibletruths.blogspot.com/2011/05/trinity-and-pagan-influence.html



No comments: