Thursday, December 9, 2010

Dibasahi Hujan Senja Kuala Lumpur .


Bunyi hujan diluar bilik mesyuarat semakin kuat menandakan hujan mula membasahi bumi Kuala Lumpur. Detik semakin berlalu dan jam di diding yang tidak pernah jemu menyapu mukanya saban waktu menunujukkan waktu sudah 5.45 petang. Pasti jalan-jalan di Kuala Lumpur basah dan kenderaan mula bergerak lamabat akibat jalan yang basah itu. Desis hati kecil ini sendirian. Bilik mesyuarat semakin mendingin ditambah dengan kedinginan penghawa dingin bilik mesyuarat ini.

“ Baiklah juga tiada apa-apa lagi saya mengucapakan ribuan terima kasih kepada semua ahli mesyuarat pada hari ini. Mesyuarat hari ini adalah yang terakhir bagi tahun ini. Namun kita akan bertemu untuk program yang lain untuk tahun ini ” . Puan pengerusi mengakhiri mesyuarat ini sambil tersenyum kepada semua ahli mesyuarat.  Alhamdulillah bisik kecil hati ini sendirian lagi. Jari jemari saya mula mencatatkan perkara-perkara terakhir didalam mesyuarat ini seterus dengan seberapa cepat mula mengemas meja dan menyimpan komputer riba saya kedalam beg sandang saya. Selepas ini perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Putrajaya pastinya melelahkan. Menempuh kesesakan ribuan kenderaan dan meredah jutaan titisan hujan pastinya mengundang kesabaran yang tinggi kepada para pemandu di tengah Kuala Lumpur ini. Selepas bersalaman dengan beberapa bos dan rakan-rakan yang lain. Kaki saya lantas pantas mencari butang lif untuk segera beredar dan untuk menunaikan solat asar iaitu menemui bos sebenar kita.

            Seusai menunaikan solat asar , hati menjadi begitu tenang lantas hilang kekusutan memikirkan kesesakan dan hujan di Kuala Lumpur pada petang ini. Teringat satu coretan karya sastera Buya Hamka didalam Bukunya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck . 



"Rupanya hujan itu bukan sekadar membawa basah, tetapi juga membawa rahmat."

 Memang benar sebenarnya hujan adalah membawa rahmat yang besar pada alam ini. Jika tiada hujan, tiadalah manusia menghargai panas. Namun begitulah manusia termasuk diri saya sendiri. Bila panas dimahunya hujan, apabila hujan merungutnya sendirian kerana kebasahan . Oh manusia yang sering lupa bersyukur.

            Kaki ini mula melangkah pantas dan sekali –sekala berlari anak kerana renyai hujan untuk sampai ke kereta yang saya pakir berhadapan pintu masuk Univesiti Teknologi Malaysia Jalan Semarak. Oh bukan saya sahaja yang sedang berlari-lari meredah renyai hujan pada lewat petang itu. Di hadapan saya ialah seorang anggota tentera yang turut berlari –lari mencari mobilnya. Sedang meredah hujan renyai itu, saya tiba-tiba disapa oleh tentera itu. “ Abang selalu kereta di sini kena tarik kah ?”. Saya pun menjawab “ tak pernah pula kereta saya di tarik. Walaupun salah meletakkan kenderaan disini , tetapi kereta saya tidak pernah ditarik”. Di wajah tentera itu tergambar seribu keresahan yang turut mengundang keresahan saya juga. “ Kenapa bang ?”. Soal saya.

“ Saya letak kereta di sini. Betul-betul dibawah pokok ini. Tapi sekarang kereta saya sudah tiada ” ada getar pada suaranya.
“Aduh..macamana ni..” kata saya sambil menelan air liur. “jom bang kita tanya pengawal keselamatan UTM tu. Mungkin dia ada nampak lori tunda DBKL”  saya cuba meyakinkannya untuk bertenang. Di dalam hati saya mula mula berselawat banyak-banyak moga-moga keretanya ada.

“Encik ada nampak lori tunda DBKL hari ini ?” tanya anggota tentera berkenaan kepada pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu.

“Encik letak kenderaan pada pukul berapa ?” balas pengawal keselamatan itu.
“ Sejak pagi tadi. Saya baru bertugas di Wisma Pertahanan pada hari ini” jelas anggota tentera itu.

“Saya mula bertugas bermula jam empat petang tadi. Sejak pukul empat petang tadi tiada pula saya melihat lori tunda DBKL” jelas sekali lagi pengawal keselamatan itu.
“Di mana DBKL yang terdekat?” saya mencelah masih cuba meyakinkan diri bahawa keretanya ditarik oleh DBKL.

“Berhampiran Kampung Baru “ jelas pengawal keselamatan itu.  “ Yang sebelah UNIKL tu kan?”  saya baru teringat. “Jom bang saya bawa abang kesana”. Saya mengajak anggota tentera berkenaan ke pejabat DBKL.Saya masih ingat kerana adik saya pernah belajar di UNIKL.

“Eh takpalah abang saya berjalan saja ke sana”. Saya fikir dia mungkin fikirannya sedang melayang. Bukanya dekat nak berjalan ke sana ditambahlah pulah gerimis yang kadangkala lebat sedang menyimbah bumi Kuala Lumpur ini. Saya tetap mengajak menaiki kereta i10 Hyundai milik isteri saya yang saya gunakan pada hari ini. Maklumlah i10 lebih kecil dan mudah dibawa di Kuala Lumpur ini.

            Hujan masih renyai-renyai. Kami berdua mula bergerak. Daripada Jalan Kent,  i10 mula masuk ke Jalan Semarak. Seperti diduga kereta bergerak sangat perlahan meredah girimis. Hari mula senja.  Seolah-olah masa menjadi begitu lambat bergerak menambahkan debaran terhadap apakah nasib kereta anggota tentera berkenaan. Kereta bergerak perlahan sambil berhati-hati memikirkan keadaan jalan yang licin mungkin menimbulkan pelbagai risiko kemalangan. Ketika kesesakan ini pastilah para penunggan motorsikal menjadi raja di jalan raya. Mereka bergerak dicelah-celah kenderaan sambil mengelak daripada terkena kenderaan lain yang terperangkap. Keadaan ini mengundang juga kemalangan dan mungkin ukiran-ukiran seni yang akan tergores yang tidak kita ingini singgah di kereta kita.

“ Saya baru sahaja bertugas di Wisma Pertahanan. Hari ini adalah hari pertama saya bertugas di sini” kami berbual sambil saya berhati-hati memandu.

“Sebelum ini di mana bang?”

“Markas di Muadzam, Pahang”

“ Kereta jenis apa bang?” soal saya.

“ Waja. Baru dua tahun. Tak mungkin bank tarik kereta saya. Sekuarng-kurangnya mereka perlu memberitahu saya hendak tarik kereta” anggota tentera itu menjelaskan sambil cuba memujuk hatinya sendiri.

“ Iyalah abang, saya pun harap begitu . Mungkin DBKL yang tarik. Memang kawasan itu mempunyai garisan kuning. Tetapi sepengetahuan saya DBKL atau agensi lain hanya memberi saman apabila tidak bernasib baik.

Debaran semakin memuncak. Inilah kali pertama saya berhadapan dengan situasi orang kehilangan kereta. Ahh..bukan hilang mungkin DBKL menunda keretanya.
Hampir 20 minit  di Jalan Semarak. Kereta saya barulah sampai ke persimpangan Jalan Tun Razak untuk ke Kampung Baharu. Hari semakin senja. Jam di papan pemuka kereta menunjukkan pukul 6.37 petang. Hari semakin senja. Mega merah tidak kelihatan hari kerana berganti dengan awan gemawan yang cukup gelap menandakan tiada tanda gerimis lebat ini akan berhenti lagi.

“ Abang rumah di mana?” sapa saya apbila melihat dia mula terawang-awang lagi. Mungkin memikirkan nasib keretanya.

“Shah Alam. Anak isteri pun di sana” jawabnya sambil tersenyum sedikit. Tiba-tiba dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menulis sesuatu. Saya pun tidak meneruskan perbualan kerana mungkin dia sedang menaip sesuatu . Saya melihat dan memandu dengan berhati-hati. Jelas kesesakan teruk melanda jalan-jalan di Kuala Lumpur.

Tiba-tiba anggota tentera tadi bersuara. “ Saya menghantar SMS kepada isteri saya tadi untuk mengambil anak-anak kami di sekolah.

“Ohh...” gelisah saya sedikit reda. Mungkin mereka masih ada kereta lain yang boleh digunakan . Adalah kebiasaan bagi penghuni Kuala Lumpur mempunyai dua kereta untuk setiap keluarga memandang keperluan mendesak kerana kebiasaannya suami isteri berkerja.

“Tapi macamana isteri saya hendak ambil anak-anak kami di sekolah...” terdengar pula suara sedih daripada anggota tentera berkenaan .

“Kenapa pula abang?” saya berasa pelik .

“Kami ada motorsikal sahaja. Isteri saya kerja swasta sahaja. Sekarang hujan....” jelas wajahnya semakin sedih. Pasti hatinya menjadi lebih luluh. Kali ini saya benar-benar hilang akal bagaimana lagi hendak memujuk hati saya dan hatinya.

Ohh..hati saya melopong. Telahan saya sebentar tadi jelas silap. Ya Allah besarnya ujian.
Sesudah hampir  satu jam lima belas minit meredah kesesakan daripada Jalan Semarak ke Kampung Baharu. Alam sudah pun gelap. Bahkan ketika melintasi masjid Jamek Kampung Baharu sebentar tadi . Azan sudah pun berkumandang memecah keheningan senja ini. Akhirnya kami pun sampai ke pejabat DBKL. Anggota tentera tadi segera bergegas ke pejabat itu sambil meninggalkan topi beret tenteranya di temapt duduk sebelah kiri saya. Saya menunggunya di dalam kereta kerana tiada parkir yang kosong. Setelah itu saya pun menelefon isteri saya untuk membberitahu saya mungkin akan balik lambat sedikit kerana menolong orang. Isteri saya memang tidak pernah jemu meningatkan saya untuk baca doa dan berhati-hati. Terima kasih isteriku.

Setelah lima belas minit berlalu. Saya mula nampak kelibat anggota tentera berkenaan. Saya mengharapkan  berita gembira. Sedikit berdebar perasaan saya.

“Macamana bang ?” tidak sabar saya hendak mengetahuinya.

“Tiada”. Satu perkataan yang menamatkan persoalan. Ya Allah. “Macamana sekarang ni bang ?” soal saya. “Tak mengapa . Saya akan pergi buat laporan polis. Abang balik lah dahulu. Jalan pun tengah sesak sekarang”. Wajahnya kini tersenyum dan senyum yang ikhlas. Ohh saya mungkin tidak setabah ini. Saya pula yang terkulat-kulat menghadapi keadaan ini. “ Takpa lah bang , jom saya hantar..”. Kali saya tidak berjaya apabila anggota tentera ini berkeras tidak mahu dan saya terpaksa akur dan menghormatinya.

Kini kereta i10 Hyundai saya mula meluncur laju di lebuhraya MEX menuju ke Putrajaya. Hujan masih gerimis dan membasahi lebuhraya. Saya doakan anggota tentera tadi dimudahkan Allah SWT terhdap ujian besar yang melanda mereka. Di tengah-tengah suasana hujan ini saya turut berasa seolah-olah sebenarnya didalam hati anggota tentera berkenaan sedang dilanda hujan yang sangat lebat didalam jiwanya.Moga hujan itu adalah hujan yang menyejukkan hati dia dan keluarganya.

 Tiba-tiba saya menepuk dahi saya sendiri.“Kenapa saya tidak bertanya namanya? Aduh”.  

Adakah sebenarnya kisah ini adalah satu lagi kisah dicelah bilah-bilah kehidupan yang perlu kita ambil iktibar ?. Sesungguhnya pada alam ini terdapat banyak tanda-tanda kebesaran Allah SWT yang hanya dapat dilihat oleh orang yang berfikir.

Firdaus Khairi
Putrajaya
Kisah ini kisah benar yang berlaku pada 8 DIsember 2010 setelah pulang daripada mesyuarat di Wisma Pertahanan. Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

  

1 comment:

CITY® said...

salam ,
ishhhhhhhhhhhhh takutnya, kalau saya terkena begitu pun tak tahu apa akan jadi. gelabah dan rasa teruk sgt juga.
semoga abang tu baik2 sahaja