Sunday, October 31, 2010

Menghasilkan Produk Filem Dan Drama Patuh Syariah.




Dunia hiburan tanah air mula dihidangkan dengan drama dan telefilem yang berbentuk dakwah sejak setahun kebelakangan ini. Tahniah kepada pihak media yang menganjurkan inisiatif ini. Imam Muda, Akademi Al Quran dan beberapa siri drama yang berkualiti tinggi mula dihidangkan kepada penonton. Drama bersiri Nur Kasih contohnya , telah memberi fenomena kepada industri tanah air kita. Kini semakin banyak prosedur yang berlumba-lumba mahu menerbitkan rancangan bercirikan sisi Islam. Langkah ini adalah baik, wajar dipuji dan perlu diberi galakan. Kita tidak nafikan sememangnya rakyat Negara kita adalah kreatif dan mampu menghasilkan produksi yang bermutu tinggi. Meskipun peratusnya masih kecil berbanding hidangan hiburan yang tidak memberi manfaat kepada pembangunan akal budi. Sekurang-kurangnya para penonton mempunyai alternatif memilih jenis hiburan.

Namun begitu, lambakan hiburan berbentuk Islamik ini semakin lama dilihat semakin longgar bentuk syariatnya. Kita boleh lihat ada banyak komentar daripada penonton berhubung cara persembahan hiburan yang menggunakan tema Islamik ini. Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana di dalam drama, cara berdoa boleh dipermainkan, cara memberi salam dipermainkan bahkan banyak cereka dan filem berbentuk genre seram mempermainkan ayat Al-Quran dan zikir kepada Allah untuk menghalau jin,hantu dan syaitan. Bahkan banyak juga cereka yang cuba memaparkan ajaran sesat yang mengambar zikir kalimah tauhid secara beramai-ramai dan lantang sebagai simbol ajaran sesat. Ada juga drama yang berunsur lawak bertema Islamik menunjukkan orang-orang surau bermain mata antara lelaki dan perempuan di sebalik tabir pemisah dalam surau, membasuh pinggang mangkuk bersama-sama antara lelaki dan perempuan. Ada juga ustaz yang balik selepas solat Isyak tetapi menemankan seorang gadis yang sahih bukan mahramnya balik ke rumah. Perlukah juga di dalam salah satu drama  peguam syarie digambarkan sangat terbuka dalam soal bersosial hingga boleh pula makan berduaan di dalam rumah perempuan?.


 Senario di atas adalah beberapa sketsa  yang menyedihkan sedang berlaku didalam industri hiburan kita. Sudahlah terdapat beberapa filem yang mungkin objektif prosedur untuk mendidik penonton agar menjauhi dadah,rempit,zina,judi dan sebagainya. Malangnya filem-filem inilah yang sebenarnya yang mengajar penonton cara-cara untuk melakukan kesalahan jenayah ini. Daripada tidak tahu dimana atau cara untuk mendapatkan dadah, anak remaja sudah mengetahui istilah-istilah seperti tokan, gam,ais dan sebagainya. Filem filem mengenai perlumbaan haram pula hanya menambahkan lonjakan adrenalin dalam jiwa remaja untuk melakukkan aksi yang sama malah melakukan jenayah seperti ragut sama seperti mana penjenayah-penjenayah rempit lakukan didalam filem. Malah yang lebih membahayakan lagi ialah bagaimana banyak juga filem dan drama yang menghidangkan kepada penonton bagaimana  stretegi melakukan  jenayah terancang seperti rompakan bank, penculikan serta melakukkan jenayah pembunuhan dan cara-cara untuk menghilangkan bukti di kawasan senario jenayah. Malah yang lebih membahayakan ialah filem-filem aksi menghidangkan cara-cara melakukkan keganasan seperti strategi memasang bom. Ini adalah antara bahaya yang kritikal sebenarnya kepada ancaman keselamatan negara.


Berbalik kepada isu hiburan bertemakan Islami. Adalah sangat wajar tema hiburan Islami ditafsir semula dan diperkemasakan agar selari dengan maksud dan kehendak Syariah itu sendiri. Seandainya para pembikin hiburan ini di lepas bebas dan mendefinasikan Islam melalui kacamata masing-masing. Maka kelak pemahaman Islam akan menjadi kacau bilau. Mana mungkin senario seperti diatas  adalah sesuai dengan  kehendak syariat yang sebenar.


            Kita tidaklah dapat meletakkan kesalahan seratus peratus kepada para pengusaha industri hiburan itu sendiri. Kita bersangka baiklah mungkin mereka tidak memahami kehendak sebenar syariat yang betul. Mungkin mereka membuat semua ini dengan niat yang baik iaitu untuk mendidik penonton tetapi membikin filem dan drama dengan pemahaman Islam masing-masing. Oleh itu adalah wajar industri hiburan bertemakan Islam diadakan badan pengawas seperti JAKIM mengawal produk halal negara. Badan penilai ini bolehlah mempunyai ciri yang sama dengan FINAS yang melakukan penapisan filem yang sesuai ditayangkan di negara kita. Filem atau drama yang ingin di tayangkan perlulah melepasi piawaian patuh syariah “syariah compliant”.
            
               Saranan ini sangat penting memandangkan kesan media sangat besar terutamanya kepada generasi muda Negara. Kita tidak mahu fahaman mengenai syariah sebenar kacau bilau. Sebagai contoh anak gadis kita di sekolah mula memakai tudung berbongol. Ini adalah kesan daripada drama dan filem Islami sedangkan pemakaian tudung berbonggol adalah pemakaian tidak patuh syariah. Konsep sastera patuh Syariah adalah konsep yang di ketengahkan oleh Puan Ainon Mohd. Beliau banyak mengetengahkan konsep Surah Yusuf sebagai panduan untuk menghasilkan sastera Islami yang patuh syariah. Seperti senario diatas , banyak keadaan senario drama dan filem bertemakan Islami adalah tidak patuh syariah. Oleh yang demikian panel pengawasan untuk filem dan drama Malaysia perlu segera diwujudkan untuk memastikan kemurniaan dan kesucian Islam . Sekarang adalah masa yang terbaik memandang banyak usaha pengeluar filem dan drama sedang menghasilkan filem dan drama bertemakan Islam dan keinsafan.

                    Kuasa media amatlah kuat. Kuasa media mampu mengubah persepsi dan pemahaman penonton dan pendengar mengenai sesuatu perkara. Dalam hal ini warga media tidak boelh dipersalahkan seratus peratus. Mereka ini perlu dipandu oleh para pakar syariah untuk menghasilkan produk Islami yang sebenar.   Kekuatan kuasa media untuk mengubah paradigma dan cara fikir rakyat adalah sesuatu yang tidak di nafikan lagi. Menurut Dennis Mcquail (1996:53) seorang tokoh didalam dunia media massa pernah menyatakan bahawa antara peranan media ialah.

Pertama, Berperanan meluaskan pengalaman dan  pandangan kita dan memungkinkan kita memahami apa yang terjadi di sekitar kita, tanpa campur tangan pihak lain atau sikap memihak.

Kedua, Pentafsir  yang menjelaskan dan memberi makna terhdap peristiwa atau hal lain yang terpisah dan kurang jelas.

Ketiga, Pemberi dan pengantar  informasi dan pendapat.

Keempat,Jaringan interaktif yang menghubungkan komunikator dengan penonton  melalui berbagai kaedah interaksi.

Kelima, Penunjuk arah yang menunjukkan arah, memberikan bimbingan atau arahan kepada penonton..

Keenam, Penyaring yang memilih bahagian mana senario yang  yang perlu diberikan perhatian khusus dan menyisihkan senario yang lainnya, baik secara sedar dan penyisihan dan pengambaran sistematik maupun tidak.

Ketujuh, cermin yang memantulkan citra masyarakat terhadap masyarakat itu sendiri, biasanya pantulan citra itu mengalami perubahan kerana adanya penonjolan terhadap segi yang ingin dilihat oleh para anggota masyarakat, atau sering pula segi yang ingin mereka hakimi atau kritik.

Kelapan, tirai atau penutup yang menutupi kebenaran demi pencapaian tujuan propaganda atau pelarian daripada suatu kenyataan.


Oleh yang demikian penghasilan produk hiburan bercirikan Islamik sebanarnya adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh di ambil ringan. Malahan adalah tidak keterlaluan juga sekiranya kita menyatakan bahawa penghasilan hiburan bercirikan Islami ini adalah satu tuntututan fardu kifayah. Islam tidak menafikan keperluan hiburan kepada manusia tetapi hiburan itu perlu selari dengan tuntutan fitrah dan syariah. Oleh yang demikian hiburan yang benar-benar mematuhi syariah adalah perlu untuk dihasilkan.




P/s: Artikel  diatas adalah hasil sumbang saran saya bersama isteri saya .

No comments: