Wednesday, September 19, 2007

Untuk renungan ku,aku,engkau,dia,mereka

Kategori : Akhlak

Tajuk : Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi Saw Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah “ialah orang yang takbur.”

Riwayat at-Tarmizi

Huraian
1. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.
2. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.
3. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

Kategori : Akhlak

Tajuk : Perkara Yang Mengeratkan Persahabatan

Hadith :

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.”

Riwayat Al-Tabrani

Huraian
i) Kita hendaklah sentiasa mempamerkan keperibadian seorang muslim dalam setiap pergaulan kerana ia merupakan aset penting bagi kejayaan diri serta organisasi yang dipimpin.
ii) Tutur kata yang baik, beradab dan dipenuhi unsur-unsur keikhlasan akan memberikan motivasi yang paling berkesan kepada setiap individu dalam masyarakat sekeliling sehingga membentuk kualiti ummah yang terbaik dan menjadi contoh kepada yang lain.
iii) Jika kita mahu dihormati maka kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain sama ada dengan mengucapkan salam, bersikap peramah dan mengutamakan keperluannya. Ini dengan sendirinya akan menerbitkan perasaan hormat orang itu terhadap kita dan seterusnya menimbulkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain.

Kategori : Akhlak

Tajuk : Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia”.

Riwayat Abu Daud

Huraian
1. Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
2. Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
3. Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

Sumber JAKIM

No comments: