Friday, August 10, 2007

Sambutan Kemerdekaan Yang Kosmetik.

Acapkali saban tahun sambutan kemerdekaan adalah sterotaip. Artis,hiburan,sambutan bunga api,konsert besar-besaran sehingga lewat malam,upacara menanti detik dua belas malam, pergaulan bebas dan pergaulan ambil kesempatan pasti akan berlaku pada malam ambang kemerdekaan. Saban tahun kita merayakan kekmerdekaan Negara yang tercinta ini seperti kita tidak mencintai Negara kita. Entah sampai bila kita harus meraikan dengan cara yang demikian rupa.

Sambutan kemerdekaan juga acap kali berbentuk kosmetik. Para pemimpin Negara juga setiap tahun pasti akan menyatakan kekesalan kerana bendera jalur gemilang amat jarang di kibarkan di kalangan lapisan masyarakat. Itu pun mungkin setelah saban hari pihak media mendedahkan tentang ketidakperihatinan ini. Malah amat menyedihkan sekiranya kerajaan terpaksa menjalankan kempen mengibarkan Jalur Gemilang.

Tahun ini, sempena sambutan ke lima puluh tahun negara mencapai kemerdekaan. Sambutan diadakan dengan pelbagai cara. Hiburan dan Sukan menjadi agenda utama pada tahun ini. Sebelum ini kita mahu membawa pasukan bola sepak negara yang pernah menjajah kita untuk beraksi di tanah air kita, juga bersempena sambutan ke lima tahun kemerdekaan. Artis-artis barat begitu banyak diimport untuk meraikan sambutan ke lima puluh tahun kemerdekaan negara.Yang paling hampir ialah gwen stefani. Artis yang sangat tidak menepati norma budaya tempatan diimport masuk. Mungkin artis tempatan dan bintang sukan kita sudah tidak mempunyai kualiti yang baik untuk menyambut kemerdekaan kita.

Mungkin juga budaya tempatan seperti budaya etnik yang banya di Sarawak malu untuk kita persembahkan. Walhal generasi muda semakin tidak mengenali budaya kita sendiri. Malah bahasa Ibunda kita sendiri dipinggirkan dewasa ini.Entah dimana kemerdekaan. Kita agaknya yang malu dengan budaya kita sendiri.

Jadi,tidakkah kita terfikir bahawa kita ini menyambut kemerdekaan nagara kita yang tercinta ini bersifat kosmetik?. Juga cinta kita kepada tanah air juga bersifat kosmetik. Berlakon dan pura-pura?. Setiap tahun pasti ada surat pembaca yang menyatakan bahawa sambutan kemerdekaan perlu lebih berisi dan terarah. Namun setiap tahun sambutan kemerdekaan tetap disambut dalam keadaan parah dan merosakkan pemuda-pemudi harapan negara.

Sambutan kemerdekaan perlu dijadikan medan terbaik untuk mendidik rakyat. Rakyat yang dididik dengan pengisian dan ilmu akan menjadi rakyat yang berkualiti. Rakyat yang sentiasa disumbatkan dengan hiburan dan kelalaian akan menjadi rakyat yang paling tidak boleh diharap untuk mempertahankan negara.

Terimbau seketika ketika sambutan tahun baru 2005,selepas bencana Tsunami. Kita meraikannya dengan penuh keinsafan. Tahniah dan permulaan yang baik ini harus diteruskan. Namun keinsafan kita tidak berpanjangan. Tahun berikutnya,kemerdekaan dan tahun baru di sambut dengan daif dan naïf semula. Konsert mutu rendah menjadi pilihan untuk meraikan sambutan sambutan ini. Entah berapa ratus ribu ringgit dibakar pada malam-malam itu untuk percikan bunga api.

Untuk melahirkan kecintaan kepada tanah air. Rakyat perlu dididik.Apabila sudah tiba makna cinta kepada negara dalam setiap rakyat. Rakyat pasti akan mengibarkan jalur gemilang dengan bangganya tanpa perlu disuruh-suruh.Rakyat berbangga dengan negara yang dibanggai.

Sekiranya disoroti perjuangan asal kemerdekaan. Perjuangan untuk kemerdekaan negara kita telah selesai. Soalnya disini ialah pengisian pasca kemerdekaan. Bagaimana kita mahu rakyat kita dilahirkan dan soal ini perlu difikir secara serius dan tuntas. Sejarawan Islam Malik Ben Nabi pernah menyatakan bahawa kemerdekaan sesebuah negara bukanlah menjadi masalah, kadangkalanya ialah bagaimana sikap rakyat sesebuah negara yang kadangkala seperti bersedia untuk menerima kehadiran penjajah. Kenyataan beliau amat tepat dengan kenyataan pada hari ini. Sangat menyedihkan sehingga untuk menyambut kemerdekaan negara kita sendiri kita mengiport artis,ahli sukan,budaya luar yang jelas merosakkan akal budi.

Kita mahu rakyat Malaysia adalah rakyat yang berpengetahuan dan cinta pada negara secara berasas. Kita tidak mahu rakyat kita hanya dilambakkan dengan kemewahan material,fantasi dan kelalaian. Sekira keadaan parah ini tidak dibendung, nantikanlah saat yang tidak mahu kita ingini. Iaitu kembalinya penjajah dalam apa jua bentuk. Wajar kita insafi menjelang ambang ke 50 tahun kemerdekaan negara.Berdirinya Empayar Kerajaan Melayu Melaka adalah selama lebih kurang 111 tahun. Tanah air kita atau lebih tepat kerajaan Melaka dijajah selama hampir 500 tahun dan kini kita marayakan kemerdekaan yang ke 50 tahun. Adakah kita mampu sekurang-kurangnya mempertahankan kemerdekaan kita sehingga usia 100 tahun?

Tumpuan pengisian perlu diberi pada generasi muda. Kami ini adalah golongan yang jauh daripada merasa keperitan penjajahan. Kami ini adalah golongan yang perlu dibimbing dan dididik. Bukannya disumbatkan dengan hiburan yang meyuburkan budaya hendonisme yang melampau.

Semua pihak perlu buka mata. Usah hanya memikirkan mengaut keuntungan semata-mata tanpa peduli kepada tanggungjawab sosial.Kami lah pemimpin masa depan yang akan memacu hala tuju negara. Sudah pasti kita tidak mahu kemajuan kita pada 2020 dan 2057 sama seperti Amerika Syarikat yang telah runtuh sistem kemanusiaan dalam masyarakat. Institusi keluarga runtuh,pergaulan bebas menjadi

budaya,muda-mudi malu sekira masih dara dan teruna,perkahwinan sejenis dibenarkan,keruntuhan sifat kesopanan dan kesusilaan, jenayah dan senjata api,dah dan arak menjadi ketagihan yang meruncingkan. Segala macam jenayah ada disana yang menjadi asam garam kehidupan masyarakat yang kononnya paling maju dan bertamadun. Tetapi paling rendah dalam aspek kemanusiaan.

Jika itu keadaan di Amerika Syarikat. Di Malaysia tidak kurang kritikalnya. Ini statistik yang telah dibentang di parlimen pada 8 ogos 2007 oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow .Sebanyak 10,229 kes jenayah rogol dilaporkan dalam tempoh enam tahun sejak 2002 hingga Mei tahun 2007, kata.Beliau meneyebut lagi sebanyak 1,191 kes rogol dilaporkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Bagi jenyah yang melibatkan warga asing pula jenayah dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2007 ini ialah 1,823.

Sekiranya indeks yang saban tahun meningkat ini tidak dipandang serius. Keadaan negara akan menajdi semakin parah dan mengundang negara ke ambang kehancuran. Bukti statistik menunjukkan betapa pengisian pasca kemerdekaan di titik beratkan. Kita berharap semoga sambutan kemerdekaan negara menjelang usia ke 50 tahun ini menjadi medan introspeksi dan medan muhasabah kita. Sejauh mana kita telah berusaha untuk menjana generasi terbaik dan berkualiti demi tamadun masa depan yang terbaik. Generasi muda perlu dibimbing dan didik tentang erti sebenar kemerdekaan.

Menjana generasi rabani demi tamadun khaira umah. Hidup Biar Berjasa.

Mohd Firdaus Bin Mohamed Khairi


No comments: