Friday, December 19, 2008

Parlimen Lulus Pindaan Ke Atas AUKU

Parlimen Lulus Pindaan Ke Atas AUKU

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat hari Khamis meluluskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) (Pindaan) 2008 bagi menambah baik dan memperluas autonomi universiti.Berdasarkan pindaan itu, beberapa kuasa di bawah Yang di-Pertuan Agong dan menteri akan dipindahkan kepada pihak berkuasa universiti yang antara lainnya terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor.


Ia juga menitikberatkan keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti dalaman serta luaran pentadbiran sesebuah universiti selain membenarkan pelajar untuk bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.Di samping itu, canselor turut diberi kuasa untuk melucutkan ijazah daripada mana-mana siswazah atas sebab melakukan perbuatan skandal.


Terdahulu dalam sesi penggulungan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pindaan yang dibuat ke atas AUKU berdasarkan kepada pertimbangan dan prinsip pendidikan yang dirumuskan daripada matlamat pendidikan peringkat tinggi dan bukannya politik.Beliau berkata pindaan akta itu dilakukan bagi memenuhi matlamat pendidikan untuk mewujudkan persekitaran pendidikan dan persekitaran kurikulum yang terbaik bagi pembinaan insan yang baik dan juga sentiasa berfikir.



Katanya pindaan itu bagi meningkatkan kecemerlangan universiti serta memperbaiki kedudukan universiti di peringkat antarabangsa di samping mewujudkan suasana yang kondusif sebagai sebuah pusat menimba ilmu.Pindaan itu dapat meningkatkan usaha untuk mengasah dan mempertajamkan minda pelajar menerusi kelonggaran atau memberi hak dan peluang kepada pelajar untuk berpersatuan serta kebebasan untuk bersuara.Justeru itu, beliau berkata pindaan ini menyediakan Fasal yang membenarkan pelajar melibatkan diri dengan mana-mana organisasi sama ada di dalam dan di luar universiti tempatan atau luar negara berbanding sebelum ini di mana pelajar langsung tidak boleh melibatkan diri dengan mana-mana organisasi atau pertubuhan khususnya di luar dari universiti.



Mohamed Khaled berkata melalui pindaan ini juga, pelajar tidak disekat daripada berinteraksi dengan mana-mana parti politik khususnya penganjuran aktiviti atau program merangkumi bidang akademik, misalnya menganjurkan forum membincangkan isu negara.Persidangan Dewan Rakyat disambung Isnin.-- BERNAMA

No comments: