Friday, August 17, 2007

PTPTN lagi?



Syarat baru PTPTN jelas utama untung


PENDIDIKAN adalah hak asasi rakyat Malaysia. Seluruh lapisan masyarakat wajar mendapat hak pendidikan yang sama rata dan berkualiti. Namun, apabila ada pihak cuba menjadikan bidang pendidikan sebagai sumber keuntungan, ia adalah konsep salah sama sekali.

Berhubung surat pembaca dua hari lalu di Berita Harian, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diingatkan supaya tidak keterlaluan mengejar keuntungan hingga menyusahkan ibu bapa.

Sistem pinjamannya masih tidak mengikut lunas syarak, kini PTPTN membebankan ibu bapa pula. Kalau sebelum ini PTPTN menyebabkan pelajar berhutang sebelum bekerja, terma baru PTPTN jelas menyusahkan pelajar dan ibu bapa.

Syarat baru dikenakan bagi setiap pelajar yang ingin mendapatkan pinjaman ialah mereka harus mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebelum usia mereka 18 tahun.


Terma yang menyusahkan pula apabila ibu bapa berpendapatan bawah RM2,000 perlu mempunyai akaun RM500 dalam SSPN anaknya, manakala ibu bapa berpendapatan lebih RM2,000 perlu ada RM3,000 dalam akaun SSPN bagi melayakkan anak mereka memohon PTPTN.

Tarikh kuat kuasa syarat itu adalah pada 1 Januari depan. Syarat ini disifatkan oleh ‘Roslani Sulaiman’ dalam suratnya sebagai ‘membebankan dan boleh menjerat orang tua.’

Apakah agenda sebenar PTPTN apabila meletakkan syarat itu? Kini PTPTN hendak menyusahkan seluruh isi keluarga pula.

Daripada kita berlumba-lumba membina ‘kompleks universiti,’ lebih baik kita menumpukan membantu pelajar untuk belajar. Malah, bagi kebanyakan syarat untuk membuka akaun di mana-mana bank, rata-ratanya memerlukan minimum simpanan RM10 dan yang paling tinggi RM100 bagi akaun simpanan biasa.

Di mana fungsi sebenar pendidikan untuk melahirkan modal insan terbaik. Nampaknya, fungsinya kini mengejar keuntungan.

Sebagai contoh, universiti yang dulunya dikenal sebagai gedung ilmu yang melahirkan ilmuan kini kebanyakannya tidak lebih seperti sebuah gudang yang mengeluarkan pekerja tidak berilmu.



MOHD FIRDAUS

MOHAMED KHAIRI,

Timbalan Presiden, Persatuan

Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

1 comment:

BiHuBbiK Ya NuR said...

apabila pendidkan menjadi perdagangan merdeka kah kita??