Abdullah Gul sah calon Presiden Turki
ANKARA14 0GOS 2007 : Menteri Luar Turki Abdullah Gul, semalam mengesahkan pemilihannya sekali lagi sebagai calon Presiden dalam pengundian Parlimen akhir bulan ini, biarpun terpaksa berdepan bantahan pembangkang yang prosekular.
“Hasil rundingan dengan ramai pihak, saya dapat melihat yang pencalonan diri ini mendapat sokongan rakan di Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP),” katanya kepada media.
Gul berkata, demikian selepas bertemu pemimpin pembangkang berhaluan kanan dari Parti Tindakan Nasionalis (MHP), dalam usahanya mendapatkan sokongan bagi pemilihannya itu.
“Saya menjelaskan kepada mereka apa yang akan saya lakukan andai dipilih Parlimen menjadi Presiden baru,” katanya yang berhasrat menemui pemimpin pembangkang lain dan akan mengadakan satu sidang media bagi menjelaskan pendiriannya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh sidang media berkenaan.
Parti AKP yang memerintah dan menguasai 341 daripada 550 kerusi Parlimen, pasti memilih Gul dalam pengundian ketiga yang memerlukan sekurang-kurangnya 276 undi bagi memastikan kerusi Presiden itu miliknya.
Gul menjadi pilihan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dan AKP malam kelmarin selepas parti pemerintah itu menang besar dalam pemilihan Parlimen, bulan lalu.
Beliau tetap berazam meneruskan hasratnya biarpun berdepan bantahan parti politik yang bimbang pelantikannya menjejaskan tradisi sekular. – AP/AFP
No comments:
Post a Comment