Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Friday, June 17, 2011

Menjadi Ayah Yang Lebih Kuat Daripada ‘Ultraman’.




Untuk Ayah,Abah,Walid,Papa,Abi,Baba dan semua yang sama gelarannya.

.
Dalam sayup pagi .Kira-kira jam 3.00 pagi . Anak saya Wardhatussyifa terbangun.  Sesudah menukar lampinnya. Dia masih menangis.

“Syifa` tidur.Lampinkan sudah ditukar” Isteri saya memujuknya.

“Abies..abies..” Syifa menangis dan menyebut nama kartun kegemarannya. Cubies di rangkaian babytv.com di Astro.

“Esoklah tengok. Sekarang masa tidur” pujuk isteri saya lagi.

Sketsa ini mengingatkan saya tentang nasihat ustaz Pahrol di radio ikim pada suatu pagi “Kenapa anak-anak lebih suka kepada Ultraman berbanding kita”.

Kadangkala kita ambil mudah kepada anak-anak kita. Pendapat ini mungkin tidak terlepas kepada saya. Kadangkala kita ambil mudah untuk membuat kerja kita dengan mengajak anak-anak menonton kartun-kartun yang ada di televisyen rumah kita. Selepas mengajak mereka menonton rancangan kartun seperti Ultaraman , Upin dan Ipin , Barney dan sebagainya. Dengan perlahan-lahan kita meninggalkan mereka. Mungkin pada mulanya mereka akan memanggil kita kembali untuk menemani mereka. Adakah anda perasan lama kelamaan anak-anak kita tidak akan memanggil kita lagi. Sebagai ayah , keadaan ini mungkin akan memudahkan kita membuat kerja-kerja ‘ayah’ yang lain. Pada masa yang sama memang tidak boleh melarang ibu anak kita yang sedang memasak dan mengemas di dapur. Alhamdulillah jika kita tolong isteri kita. Saya yakin dan percaya ramai ayah diluar sana membantu isterinya di dapur.

Berbalik kepada anak kita yang semakin asyik menonton rancangan kartun di ruang tamu tadi.
Ustaz Pahrol menambah lagi “Apakah kelebihan ultaraman sehingga anak-anak kita lebih menyukai ultraman berbanding ayah ?”.

Soalan berkenaan benar-benar membuat saya terfikir dan terus berfikir. Kenapa saya tidak boleh jadi lebih kuat daripada ultraman. Mari kita lihat kelebihan utraman.

1.      Man In Action. Ultraman adalah watak yang terus membantu mengalahkan raksaksa tanpa berkata apa-apa.

2.      Ultraman hanya berniat untuk menyelamatkan bumi walaupun Ultraman tahu bumi bukanlah planetnya. Planet asalnya adalah Nebula M-78.

3.      Walaupun sudah didalam keadaan lemah Ultraman tidak berputus asa. Meskipun sudah jatuh. Ultraman akan tetap bangun dan menggunakan segala kuasa yang ada untuk menewaskan raksaksa.

4.      Ultraman adalah wira. Hero. Walau apapun terjadi Ultraman adah hero.

5.      Ultraman sangat baik hati. Tidak pernah marah kepada manusia yang tidak membantunya ketika dia berlawan.

6.      Ultraman berdikari dan sangat kuat prinsip. Segala raksaksa akan ditewaskan.

Senarai kelebihan Ultraman memang banyak . Saya sempat senaraikan seperti diatas.  Oleh itu saya fikir bahawa ayah-ayah diluar sana yang anaknya meminati Ultraman. Ayah-ayah perlu mengalahkan ultraman untuk memenangi hati dan perasaan anak mereka. Tetapi anak saya tidak minat Ultraman. Dia meminati Upin dan Ipin dan Teletubies. Oleh yang demikian saya perlu membuat satu senarai kelebihan Upin dan Ipin dan Teletubies dan mengalahkannya. Mungkin saya perlu lebih ceria dan berwarna-warni?

Usia awal anak sangat penting untuk proses pendidikan . Penyelidikan  Dr. Glenn Doman yang menulis bukuj How to Teach your Baby to Read . Membuat beberapa rumusan. Rumusan ini turut dipersetujui oleh banyak pakar yang lain . Antara rumusan penting daripada kajiannya dan pakar-pakar yang lain ialah:
  • Tiada ahli sains yang dapat mengalahkan kanak-kanak, dari segi semangat belajar, mengkaji, mencuba dan menyelidik.
  • Kanak-kanak akan lebih gembira jika lebih banyak dan lebih cepat menerima pelajaran. Potensi kanak-kanak membaca sama sahaja dengan potensi bercakap.
  • Kanak-kanak boleh bercakap dahulu kerana kanak-kanak lebih banyak menerima rangsangan pendengaran percakapan.
  • Sekiranya ransangan mata dan telinga sama banyak diterima, pasti kanak-kanak akan dapat membaca juga pada masa kanak-kanak itu dapat bercakap. Walau bagaimanapun kaedah dan suasana pembelajaran yang sesuai diperlukan.
  • IQ akan meningkat dengan pesat bila dirangsangkan dalam peringkat ini dan tidak berkesan lagi bila dirangsangkan selepas peringkat ini.
  • Apa yang tidak diperolehinya semasa kecil, sangat sukar diperolehi apabila ia besar kelak.
  • Pembelajaran pada masa akan datang juga terletak di atas apa yang didapatinya semasa kecil.
  • Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang cacat otak (seperti akibat demam panas) masih boleh dirawati jika sel otaknya dirangsangkan sebelum umur persekolahan.
Oleh itu sempena hari bapa ini. Marilah kita menang melawan kartun-kartun yang diminati oleh anak-anak kita. Kita sebagai ayahlah perlu menjadi adiwira mereka. Bukan ultraman. Selamat Hari Bapa. Terima Kasih AYAH. :)


Friday, October 29, 2010

Nilai Antara Dua Jenama. Erti Nilai Dunia ?

Nilai Antara Dua Jenama. Erti Nilai Dunia ?



Sudah lama saya tidak mencoretkan sesuatu di kanvas digital ini. Mengikut tarikh akhir saya membuat catatan kira-kira setahun yang lalu. Terlalu banyak perkara yang berlaku. Lumrah kehidupan , ada pasang dan surutnya. Alhamdulillah , harap diri ini masih tidak berputus asa dengan rahmat Allah meskipun diri ini rasa hina sekali di sisi Nya.

Puteri kami sesudah setahun. (Gambar kredit kepada Anis Najiha)
Pada suatu hari , saya , isteri dan anak saya pergi membeli belah. Memandang susu untuk puteri kami sudah hampir habis dan perlu membeli beberapa keperluan lain. Semasa kami sedang mencari-cari tiba-tiba kami di sapa oleh seorang jurujual disitu. Sambil menegur kami dengan pelat Tionghuanya yang kadangkala buatkan saya tidak faham apa yang cuba diperkatakannya. Rupa-rupanya dia hendak membuat promosi susu Enfagrow.

Saya akan menterjemahkan dialog kami ke dalam bahasa Melayu untuk memudahkan pembaca membacanya.

“Encik dan puan, sedang mencari susukah?” sapa jurujual tersebut.
“Iya, ada tak kamu nampak di mana susu Biolac?” tanya saya.
“Ooo..saya hendak mempromosikan susu jenama Enfagrow ini. Susu ini mempunya kandungan DHA yang tinggi. Kegunaan DHA adalah untuk perkembangan otak bayi. Sesuai dengan anak encik yang berumur setahun lebih ini” jelasnya. Saya dan isteri saling memandang tersenyum dan melihat telatah puteri kami yang sekarang ini sedang suka sangat berjalan. Maklumlah sudah dapat kaki. Saya dapat memahami bahawa isteri saya berminat untuk mendengar lebih lanjut penjelasan jurujual tersebut.

Syifa nencari uminya.
“Ada cuba tukar susu lain?” tanya jurujual tersebut.
“Belum” jelas isteri saya.
“Ohh...encik dan puan perlu cuba menukar susu, tukar susu yang lebih baik. Ia bagus untuk bayi. Ada susu yang tidak bagus seperti kurang DHA dan sebagainya” jelasnya lagi.
“Memang susu ini agak mahal,ada juga orang kaya yang tidak mahu menukar susu. Pernahkah encik dengar susu jenama D***X ******.Tanya jurujual itu lagi.( Tidak perlu saya nyatakan susu apa kerana bukan saya hendak menjejaskan jualan susu tersebut.)
“Pernah” .
“Susu itu orang miskin sahaja yang pakai”.  Menyirap darah saya apabila mendengar penjelasan itu. Terus saya hilang minat mendengar.

Apakah yang kita dapat daripada sketsa kehidupan yang saya semapt lalui tadi. Pernahkah anda pergi ke tandas di Puduraya satu masa dahulu? Pernahkah anda masuk ke takndas KLIA ataupun KLCC? Masukkan ke tandas puduraya yang menyedihkan itu kita semua perlu membayar RM 0.30 sedangkan KLCC dan KLIA tiada dikenakan bayaran. Begitu juga di hentian putra. Bayangkan tandas di KLCC dan KLIA mempunyai penjaga tandas yang akan memandang orang yang hendak masuk ke tandas dengan sinis sambil berkata “ bayar dulu ...”

Begitulah tradisinya dunia ini. Adakah adil ?
Pada satu konteks, memang adil. Tiada pilihan. Barangan bermutu, harganya pasti mahal. Jika benar teori DHA itu. Maka orang terbanyak tiada peluang untuk melahirkan anak cerdik pandai. Jadi kehidupan ini seolah-olah tiada pilihan. Makanan yang terbaik adalah untuk orang berada.

Oleh itu. Bagaimanakah nasib anak-anak orang terbanyak?. Pastilah jawapannya bukan. Otak manusia adalah satu kejadian Allah yang ajaib. Saya harap ada mereka yang tidak mampu membeli susu Enfagrow tidak berasa berputus asa. Suatu masa dahulu susu jenama ini tiada pun di pasaran. Ketika dunia melahirkan Aristotle,Al Khawarizmi, Al Jabar, Ibnu Sina bahkan ramai tokoh intelektual dewasa kini yang tidak pun pernah merasai susu semahal itu. Ajaib bukan?. Tetapi mereka-mereka ini pula bukalah menjadi intelektual secara tiba-tiba.

Tetapi jika ada pilihan. Saya hendak memberi yang terbaik untuk anak saya. Pendapat ini juga dipersetujui oleh isteri saya. Di dalam aspek ini pula janganlah kita mencipta alasan seperti di atas. Mungkin makanan terbaik masakini mampu menjadi pemangkin untuk melahirkan lebih ramai manusia besar pada masa hadapan. Keadaan seolah-olah tidak adil ini sebenarnya perlu menyuntik semangat terutamnya sang suami untuk member yang terbaik untuk keluarag. Bukan sahaja dari aspek kebendaan bahkan aspek yang lebih halus lagi. Masa dan perasaan. Dua aspek yang tidak dapat di sentuk secara fizikal tetapi di dambakan anak dan isteri sang suami.

Oleh itu andai ada pilihan. Pilhlah yang terbaik. Hidup ini sudah ditakdirkan. Dunia ini adil. Adil untuk mereka yang berusaha. Jika kita tidak dapat yang terbaik, usahakan yang terbaik untuk anak dan isteri kita. Dan sebenarnya yang terbaik adalah fitrah. Susu ibu adalah fitrah. Oleh yang demikian ibu pula punya hak dari sang suami untuk mendapat makanan yang terbaik.

p/s: ingat makanan terbaik bukan yang mewah ya sang isteri. :)



Monday, October 26, 2009

SEBENTAR BERSAMA UMI

Catatan ini adalah penghargaan buat umi isteri saya yang baru sahaja pulang ke Rahmat Allah SWT.

Alhamdulillah.. saya sempat bertemu umi. Umi seorang manusia yang sangat baik. Mak sebenar Isteri saya telah meninggal dunia sejak umur isteri saya sekitar tujuh tahun. Sejak itu Isteri saya dan adik beradiknya telah dijaga oleh Umi.

Umi sebenarnya adalah kakak kepada Abah Isteri Saya. Umi juga adalah seorang bekas guru yang telah lama mendidik para murid di Ma'ahad al-Ehya al-Syarif,Semanggol. Maahad ini telah di asaskan pada 1934 oleh bapanya Ustaz Abd Rahman Mahmud dan di tadbir bersama oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir.

Umi seorang yang kuat membaca, kuat mengaji dan seorang yang sangat menjaga makan dan minumnya. Ketika umi sedang sakit kuat. Isteri saya ada disisinya sambil mengajar umi mengucapkan kalimah tauhid. Allah, Allah, Allah. Umi ikut ucapkan kalimah agung itu. Di saat umi sakit lebih kuat, umi mengangguk tanda faham. Sehinggalah hembusan nafasnya yang terakhir.Alhamdulillah. Moga-moga umi pergi dalam husnul khatimah( kesudahan yang baik). Ramai orang berkata, itu tanda orang yang banyak ilmu.

Umi sangat baik, umi mendambakan seluruh hidupnya kepada ilmu,menjaga anak-anak abah (bersama abah juga). dan mendidik pelajar di Ma'ahad al-Ehya as-Syarif. Sehinggalah awal tahun lepas(2008) bila umi semakin sakit kuat barulah beliau berhenti mengajar. Umi sangat mahir dalam Bahasa Arab dan Ilmu Sejarah dan Ilmu Agama yang lain. Nama anak kami Wardhatussyifa` diambil atas cadangan dari umi. Wardah " bunga mawar".

Ketika pagi hari pengebumian umi, cuaca amat panas sekali. Seawal 7 pagi, murid-murid Ma'ahad al-Ehya al-Syarif mula memenuhi rumah . Di mulai dengan pelajar perempuan dan kemudian pelajar lelaki. Suasana sayu sekali bila sedun sedan air mata mula berlinangan di kalangan murid-murid umi. Surah Yassin dibaca oleh mereka.

Muslimat PAS Taiping memandikan mayat umi sekitar jam 9 pagi. Alhmdulillah semuanya berjalan lancar

Setelah dikafankan, umi diletakkan di ruang tamu. Suasana bertambah sayu, saya berkesempatan untuk mengucup dahi umi. Raut wajah umi ketika itu tidak langsung memperlihatkan umi sebenarnya menderita barah sejak 4 tahun dahulu. Wajah umi bening sekali dan tenang sekali.

Saya acap kali tidak tertahan daripada mengalirkan air mata mengenangkan apakah nasib diri sendiri di akhir hayat nanti. Manusia yang baikkah atau sebaliknya ..nauzubillah. Semoga Allah membantu kita dengan hidayah dan taufiqNya.

Sekitar jam 10 45. Jasad umi mula di bawa masuk ke dalam van. Suasana menjadi mendung sekali. Saya bimbang hujan akan turun. Angin turut bertiup sederhana kuat. Sampai sahaja di masjid Rahmaniah. Ruang masjid sudah dipenuhi dengan orang ramai dan murid-murid Ma'ahad al-Ehya al-Syarif. Saya angarkan lebih kurang 300 hingga 350 orang menyembahyangkan umi. Umi dikebumikan berhampiran dengan tanah perkuburan sanak-saudara Ustaz Abd Rahman Mahmud. Berakhirlah kisah seorang insan yang sangat baik, Ustazah Kalthum. Sebaik sahaja dikebumikan, cuaca menjadi kembali panas. Tiada lagi tanda hari hendak hujan.

Semoga kita mengambil iktibar, kita tertanya pula bagaimana pula akhir hayat kita. Dan semoga kita sedar, setiap pertemuan ada perpisahan, setiap yang diciptakan pasti musnah binasa. Hanya Allah SWT kekal abadi.Apa guna mengejar dunia yang sedikit ini berbanding redha Allah SWT. Pangkat, harta, perhiasan dunia adalah palsu sahaja.


KITA YANG DAIF